Kementerian Pengangkutan tubuh pasukan petugas teliti kes letupan kontena, tren terlajak

KEMENTERIAN Pengangkutan menubuhkan dua pasukan petugas khas bagi menyiasat kejadian letupan kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor dan kejadian tren komuter terlajak di Stesen Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penubuhan pasukan itu diputuskan dalam mesyuarat pasca-Jemaah Menteri hari ini, bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, bebas, dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Letupan kontena di atas sebuah kapal ketika kerja pemunggahan dijalankan pada 7 November 2025 mengakibatkan tiga kematian dan tiga lagi cedera. Pasukan petugas akan meneliti keseluruhan aspek operasi, pematuhan keselamatan serta mekanisme pengendalian kargo berbahaya.

“Sementara itu, pada 8 November, satu set tren komuter kosong telah terlajak hingga hujung landasan di Platform 4, Stesen Butterworth. Pasukan petugas akan menilai punca insiden serta keperluan penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian berulang,” menurut kenyataan dikeluarkan kementerian itu, lapor Bernama.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga diarahkan membuka kertas siasatan terhadap pemandu tren dan mengambil tindakan susulan selepas siasatan selesai.

Kata kenyataan itu, mesyuarat turut meneliti kejadian limpahan air hujan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Loke berkata, kejadian dikenal pasti berlaku ketika kerja-kerja kalis air (waterproofing) sedang dijalankan oleh kontraktor Teras Budi Resources Sdn Bhd, bawah kontrak bernilai RM5.27 juta dengan tempoh kontrak dari 15 April 2025 hingga 14 April 2026.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengeluarkan arahan henti kerja bagi membolehkan siasatan dalaman dan tindakan pembetulan dilakukan serta-merta.

“Saya turut mengarahkan MAHB untuk mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor atas kecuaian yang menyebabkan insiden tersebut,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img