KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) membuat laporan polis berikutan penyebaran spekulasi berkaitan urusan perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi media sosial.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan itu diambilk kerana pendedahan dibuat sebelum sebarang keputusan pelantikan dimuktamadkan dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Jadi belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dah ada orang sebarkan. Pihak kementerian telah membuat pengaduan kepada pihak polis semalam dan kami minta supaya siasatan dibuat agar perkara sebegini tidak berulang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan SASaR Residensi Sateria, Sungai Besi, , Kuala Lumpur.
Beliau berkata, pendedahan nama, jawatan dan pergerakan pegawai kanan ATM turut menimbulkan risiko keselamatan, memandangkan maklumat berkenaan tidak pernah didedahkan kepada umum kerana ia bersifat sensitif.
“ATM tidak mendedahkan siapa yang memerintah kem tertentu, siapa yang bertanggungjawab terhadap logistik atau unit artileri atau peranan operasi pegawai kanan kerana ia boleh mendedahkan butiran keselamatan kritikal.
“Semua ini adalah perkara keselamatan. Pendedahan siapa individu terbabit, jawatan yang dipegang serta pergerakan mereka membuka ruang risiko,” jelasnya.


