Keputusan SPM 2025 diumum 31 Mac ini

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini memaklumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 akan diumumkan pada 31 Mac ini.

Menurut kenyataan kementerian itu, sebanyak 413,299 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan berkenaan di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.

“Calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM 2025 di sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi pada tarikh tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.

Bagi calon persendirian, KPM memaklumkan mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar bagi memperoleh keputusan peperiksaan.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak sekolah diminta memastikan pengurusan penyerahan keputusan kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur.

Selain itu, calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui dua kaedah iaitu secara dalam talian menerusi pautan myresultspm.moe.gov.my bermula jam 10 pagi, 31 Mac ini hingga 6 petang, 6 April.

KPM memaklumkan semakan juga boleh dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888 dalam tempoh sama.

“Sistem ini akan diaktifkan mulai 10 pagi pada 31 Mac ini hingga 6 petang, 6 April ini,” menurut kenyataan itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img