DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bertindak menampan impak krisis global ketika ini menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat.
Bagi tujuan itu, Perdana Menteri berkata, peruntukan bernilai RM4 bilion sebulan dibelanjakan bagi menyerap impak peningkatan harga minyak susulan konflik berlarutan di Asia Barat.
“Ini bukan perkara kecil, orang ramai yang menyinggung hal ini harus tahu kerajaan membantu rakyat tambahan RM4 bilion, ini untuk menahan (impak kenaikan harga bahan api dunia).
“Namun, tentu keupayaan ini terbatas dan lihatlah pengalaman negara lain. Jadi kalau ada cadangan lain baik dalam kalangan peniaga, nelayan dan pekerja sila kemukakan.
“Majlis Tindakan Ekonomi serta jawatankuasa berkenaan Jemaah Menteri setiap hari ada perjumpaan dan kita memanggil beberapa wakil.
“Ini termasuk saya sendiri akan memanggil, sama ada kontraktor kecil ataupun wakil nelayan, petani untuk mendengar keluhan mereka dan cuba menampung serta membantu sekadar yang kita mampu,” katanya dalam taklimat ringkas, malam ini.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lalu, susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pelbagai usaha lain sedang dipergiatkan demi menjamin bekalan tenaga negara.
“Kita mempelbagaikan sumber import minyak dan gas dari negara lain. Ini sudah kita umumkan dan sekali lagi kerana kejayaan syarikat minyak negara, Petronas mengendalikannya dengan baik,” katanya.


