Kerajaan kekalkan bantuan BUDI Diesel, BUDI Agri-Komoditi pada kadar RM300 sebulan

KENAIKAN harga diesel sememangnya membebankan, namun kenaikan itu bukan hanya berlaku di Malaysia malah seluruh dunia.

Ada negara yang cuba bertahan seperti Singapura dan Indonesia, tetapi Thailand dan Kemboja terpaksa menaikkan harga bahan api itu.

 Begitulah juga Malaysia, kita tidak ada pilihan,harga bahan itu terpaksa dinaikkan walaupun menerima pelbagai kecaman.

Tetapi hari ini kerajaan mengumumkan berita yang boleh melegakan kebimbangan pengguna diesel apabila mengekalkan bantuan BUDI Diesel pada kadar RM300 sebulan bagi April ini walaupun dalam suasana pasaran tenaga global yang semakin tidak menentu.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan memaklumkan tambahan interim RM100 diteruskan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bagi kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi kekal sebanyak RM300.

Kementerian Kewangan berkata, bantuan akan disalurkan mulai 8 April ini, memanfaatkan kira-kira 340,000 penerima dengan peruntukan sekitar RM102 juta.

Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan peka dan prihatin terhadap tekanan yang dihadapi rakyat susulan kenaikan harga bahan api global.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan pengguna diesel, khususnya individu serta sektor agri-komoditi, terus menerima sokongan dan tidak terdedah sepenuhnya kepada kenaikan harga bahan api global.

Sejak diperkenalkan pada Mei 2024, BUDI Diesel telah membantu meringankan kos sara hidup dengan jumlah bantuan tunai mencecah RM1.12 bilion.

Kementerian Kewangan berkata pendekatan bersasar itu memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, di samping mengekalkan disiplin fiskal negara dalam keadaan tekanan global yang berterusan.

Katanya, selain langkah interim tersebut, kerajaan juga sedang mempertimbang langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan sistem subsidi kekal mampan, telus dan terus memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan pasaran tenaga global dan bersedia mengambil langkah tambahan dengan segera bagi memastikan bekalan kekal stabil dan mencukupi,” menurut kenyataan itu.

Selan itu, kata kenyataan tersebut, penguatkuasaan turut dipertingkat bagi membendung penyelewengan dan memastikan subsidi sampai kepada kumpulan sasar.

Harga diesel meningkat sebanyak RM2.40 kepada sekitar RM5.52 seliter sepanjang tiga minggu lalu berikutan kekangan bekalan tenaga susulan konflik di Timur Tengah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img