KERAJAAN secara dasar telah meluluskan pelan evakuasi untuk membawa keluar rakyat Malaysia yang berada di kawasan berisiko di Asia Barat yang boleh diaktifkan pada bila-bila masa sekiranya keadaan memerlukan.
Bagaimanapun Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini kerajaan belum bercadang untuk mengaktifkan pelan evakuasi untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari negara Asia Barat susulan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran.
Bagaimana katanya, kerajan secara dasar meluluskan pelan tersebut dan boleh diaktfikan pada bila-bila masa apabila keadaan memerlukan berbuat demikian.
“Kita punya pelan evakuasi yang telah diluluskan oleh Kabinet dan ia boleh diaktifkan pada bila-bila masa diperlukan. Kita akan laksanakan pelan itu apabila betul-betul memerlukan, namun setakat ini belum ada keperluan. Namun Kementerian Luar melalui Wisma Putra dan kedutaan-kedutaan kita di negara terbabit akan terus memantau setiap hari perkembangan di sana.
“Wisma Putra juga akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa berhubung situasi di Timur Tengah untuk kepentingan orang ramai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Khatam Al-Quran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) 2026, di Seremban hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, langkah membuka ruang udara oleh beberapa negara dan tindakan syarikat penerbangan menyambung semula penerbangan mereka membolehkan rakyat Malaysia yang terkandas dibawa pulang.
“Buat masa ini isu yang perlu ditangani ialah rakyat negara ini yang terkandas manakala bagi rakyat Malaysia yang tinggal di sana tiada masalah kerana mereka memiliki kediaman, cuma mereka dinasihatkan supaya jangan menghampiri kawasan berisiko dan sensitif termasuk pangkalan tentera,” katanya.


