KERAJAAN sedang meneliti semula mekanisme pemberian subsidi diesel termasuk Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memperkukuh usaha menangani penyeludupan bahan api, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Jurucakap Kerajaan Madani merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan maklum balas daripada jawatankuasa yang menguruskan aspek penguatkuasaan.
Menurutnya, kerajaan sedang menilai sama ada mekanisme sedia ada wajar diteruskan atau dirangka pendekatan baharu yang lebih berkesan.
“Selain itu, pembahagian bidang tugas antara agensi penguat kuasa turut diperincikan bagi memastikan tindakan lebih tersusun dan efektif,” katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memberi tumpuan kepada penguatkuasaan di darat, manakala Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengawal kawasan perairan dan sungai.
Katanya, kawasan sempadan pula akan dipantau oleh agensi berkaitan termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), selain isu penyalahgunaan dan penjualan diesel bersubsidi turut diberi perhatian serius oleh jawatankuasa berkenaan.


