Kerajaan tidak izinkan rumah ibadat dibina tanpa peraturan – Anwar

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan  kerajaan tidak lagi akan membenarkan pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan.

Sehubungan itu kata pihak berkuasa tempatan diberi keizinan untuk bertinsak supaya diberikan kawasan yang bukan kuil supaya masalah tersebut diselesaikan dengan baik.

“Saya dengan ini mahu mengumumkan ketetapan kita tidak lagi mengizinkan dan majlis perbandaran (PBT) diberi keizinan untuk ‘membersihkan’ kuil bukan hak. Saya tahu boleh mengundang kontroversi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bersama warga Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sempena Perhimpunan Bulanan KPN Februari 2026 di Dewan Damar Sari, Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan  tidak akan mengizinkan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan serta kelulusan sah bagi mengelakkan isu sensitif dipolemikkan sehingga mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Kata Anwar  perbahasan mengenai istilah seperti ‘kuil haram’ tidak seharusnya menjadi punca pertelagahan, sebaliknya tumpuan utama perlu diberikan kepada pematuhan undang-undang, peraturan tanah serta kelulusan pihak berkuasa tempatan.

“Jangan kita bergaduh soal istilah. Yang penting, ikut peraturan. Masjid yang dibangunkan ikut peraturan, gereja dibangunkan ikut peraturan, begitu juga semua yang lain. Jadi harus dicari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan.

“Kalau ada pelanggaran, barulah kita ambil tindakan. Kita jalan ikut undang-undang, bawa bincang dengan cara yang sah dan berperaturan,” katanya.

Menurut Perdana Menteri kerajaan menghormati kepelbagaian agama di Malaysia dengan Islam sebagai agama Persekutuan, namun hak penganut agama lain hanya boleh dipelihara selagi mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada.

“Adakah wajar kita beri pengiktirafan dan penghormatan kepada semua agama? Jawapan saya, ya. Tetapi adakah kita boleh beri kebenaran kepada rumah ibadat yang tidak ikut peraturan? Tak boleh,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, pembinaan rumah ibadat di atas tanah milik pihak lain atau tanpa kebenaran sah tidak boleh diterima dan tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut saluran undang-undang.

“Ini bukan perkara baharu. Ia seolah-olah baru timbul semalam, hanya kerana kes di bawah PMX jadi kacau-bilau. Hakikatnya, semua kerajaan sebelum ini, dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) hingga sekarang, dasar kerajaan itu berterusan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil tindakan sendiri, bersikap provokatif atau mengeksploitasi isu agama demi kepentingan politik.

“Negara ini negara hukum. Bukan untuk tunjuk ‘hero’ atau jadi pejuang agama dengan menghina dan mencerca. Dakwah perlu dibuat dengan akhlak dan contoh peribadi yang baik,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img