Kerajaan tingkatkan literasi AI, tangani deepfake – Fahmi

KERAJAAN akan mempergiat usaha meningkatkan literasi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan rakyat bagi membantu membezakan kandungan sahih dan palsu, khususnya melibatkan penipuan digital berasaskan teknologi tersebut.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketika ini pelbagai pihak termasuk industri penyiaran sedang bereksperimen dengan penggunaan AI dalam penghasilan kandungan.

Menurutnya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sendiri telah menggunakan teknologi itu dalam penghasilan iklan sempena musim perayaan, dan trend tersebut dijangka terus berkembang dalam kalangan syarikat media.

Namun, beliau menegaskan cabaran utama ialah memastikan orang ramai mampu membezakan antara kandungan asli dan kandungan palsu yang digunakan untuk tujuan penipuan.

“Perkara paling penting bagi rakyat adalah memahami bagaimana membezakan kandungan sebenar dengan yang dimanipulasi, terutama bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan atau scam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Simposium Penyiaran Digital 2026 (DBS2026) anjuran Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah beliau, taktik yang dikesan termasuk penggunaan teknologi deepfake yang memanipulasi imej atau video individu berprofil tinggi, termasuk Yang di-Pertuan Agong, kononnya mempromosikan pelaburan atau produk tertentu.

”Rakyat perlu faham cara nak membezakan deepfake AI dan AI yang benar-benar bermanfaat.

“Ini memerlukan kerjasama termasuk daripada rakan-rakan media dari semasa ke semasa untuk meningkatkan literasi AI di kalangan para pembaca dan penonton supaya mereka tidak menjadi mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Fahmi berkata usaha bersepadu diperlukan melibatkan media dan agensi kerajaan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai risiko AI.

Dalam masa terdekat, beliau akan memanggil mesyuarat bersama National Scam Response Center (NSRC) bagi menyelaras tindakan antara pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), National Financial Crime Centre (NFCC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Peguam Negara.

“Kerjasama itu penting bagi memperkukuh langkah menangani jenayah scam termasuk yang melibatkan teknologi AI dan deepfake,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img