Keretakan, perpecahan dalam Bersatu terdedah…masih layakkah terajui PN?

TINDAKAN Bersatu memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dan menggantung sepenggal keahlian  Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebenarnya menjejaskan  imej parti itu yang menjadi tonggak Perikatan Nasional (PN) dan mengidam kerusi Perdana Menteri.

Ketika orang sedang memperkatakan mengenai perbalahan di dalam Barisan Nasional (BN) melibatkan perasaan tidak puashati MCA dan MIC terhadap kepimpinan gabungan tersebut, Bersatu pula bagaikan ‘sengaja mencari penyakit’ dengan tindakan ke atas ‘2 WAN’ – Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal.

Tindakan itu mengesahkan bahawa dalam Bersatu memang berlaku pergolakan antara dua kelompok iaitu kelompok yang menyokong Presiden Tan Sri Muhyiddin dan kelompok yang menyebelahi Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Tetapi khabarnya ada lagi   satu kelompok iaitu ‘batu api’ – siapa?  Biarlah rahsia.

Perpecahan itu dikaitkan pula dengan soal calon Perdana Menteri (PM). Maksudnya, Muhyiddin dan Hamzah berebut untuk menjadi calon PM. Sebenarnya tidak ada perebutan sebaliknya berpunca daripada kegelojohan puak-puak tertentu mahu mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Entah mengapa mereka terlalu takut Muhyiddin tidak akan menjadi ‘poster boy’ dalam PRU-16.

 Malah lucunya, mereka bagaikan takut bayang-bayang dengan mengatakan Hamzah sedang menonjolkan diri untuk menjadi PM. Kalau pun betul apa salahnya? Bukankah Ketua Pembangkang sebelum ini selalu dilihat sebagai ‘bakal PM’, lagi pula Hamzah berada di situ dengan sokongan semua ahli Parlimen Bersatu dan Pas. Dan Hamzah jadi Timbalan Presiden Bersatu atas restu Muhyiddin yang tidak mahu jawatan itu dipertandingkan?

Pada masa sama Pas tidak mahu terlibat dalam kegelojohan puak-puak berkenaan, maka Pas mengambil jalan selamat dengan mengatakan calon PM akan ditentukan selepas menang pilihan raya. Kalau bahasa politik tersirat ialah mereka tidak menyokong Muhyiddin sebagai calon.

Ada yang berhujah, Pas tidak pernah mengisytiharkan penolakan terhadap Muhyiddin. Memang tidak ada pengisytiharan rasmi TETAPI pada November tahun lalu kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengesyorkan Muhyiddin Yassin calon tunggal jawatan perdana menteri PN pada PRU akan datang, dibalas oleh  Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin yang menegaskan, parti itu lebih layak memimpin PN sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin kekal sebagai calon PM gabungan itu.

Harus diingat pendirian Mursyidul Am tersebut sehingga ke hari ini boleh dianggap ‘dipatuhi’ oleh Pas  atas sebab itulah Pas tidak membuat pengisytiharan rasmi sama ada menerima atau menolak Muhyiddin sebagai calon Pas.

Janganlah melihat pendirian Pas itu umpama meminang anak dara zaman dulu-dulu, kalau diam berhenti setuju! Zaman sekarang orang menolak cara kiasan sebab hendak jaga air muka orang yang meminang. Itulah yang Pas buat, tak kan tak faham-faham lagi.

Penulis mengaitkan tindakan Bersatu ke atas ‘2 WAN’ itu dengan isu calon Perdana Menteri kerana itulah yang diperkatakan oleh banyak pihak bahawa ia menjadi punca perpecahan dalam Bersatu sekarang.

Malah daripada maklum balas yang penulis terima dan reaksi dalam media sosial, ramai orang khususnya  orang Melayu marah dengan pergolakan dalam Bersatu. Selama ini mereka berharap Bersatu yang bergabung dengan Pas dan mendapat kerjasama Gerakan akan menjadi gabungan alternatif untuk menggantikan Pakatan Harapan-Barisan Nasional.

Sekarang semua sudah terjejas! Pemimpin Bersatu boleh berkata dan berhujah apa sahaja tetapi mereka harus menerima hakikat bahawa tindakan ke atas ‘2 WAN’ dan empat yang lain telah meranapkan imej parti itu.

Penulis tidak kata, tidak boleh ambil tindakan. Tetapi sekarang bukan masanya. Barisan kepimpinan Bersatu sepatutnya lebih bijak untuk menangani permasalahan tersebut bukannya dengan memberi alasan mudah, ‘’itu urusan Lembaga Disiplin’. Betul…keputusan Lembaga Disiplin tetapi tak kanlah kepimpinan Bersatu tidak ada kebijaksanaan politik bagi menguruskan  ‘2 WAN and the gang’ itu.

Kenapa tidak belajar bagaimana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri menguruskan Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli? Sejak keluar daripada Kabinet, Rafizi bukan sahaja mengkritik parti tetapi juga Kerajaan MADANI sejak terbuka malah Anwar juga turut menjadi sasaran.

Tetapi adakah Anwar bertindak ke atas Rafizi? Adakah Anwar mengarahkan Lembaga Disiplin bertindak ke atas Rafizi? TIDAK! Sebab Anwar tahu sekarang bukannya masa untuk melakukan tindakan politik yang boleh menjejaskan imej PKR dan Pakatan Harapan. Kalau bergolak pun biarlah dalam ‘kocakan dalam cawan sahaja’ atau diselesaikan bagaikan ‘menarik rambut dalam tepung’.

Malangnya itu tidak berlaku dalam Bersatu sebaliknya tindakan yang dilakukan menyebabkan bukan sahaja dalamam parti tersebut berantakan, malah imej parti itu juga sudah terjejas teruk. Kalau begitu keadaannya macam mana Bersatu mahu menjadi tonggak kepada Perikatan Nasional dan mengepalai gabungan longgar parti-parti yang kini bernama Ikatan Prihatin Rakyat (IPR)?

Walaupun perit mahu tidak mahu pemimpin Bersatu harus menerima sindiran Ketua DAP, Woo Kah Leong menyifatkan Bersatu sebagai “parti berpecah” susulan perebutan dalaman untuk menentukan calon perdana menteri dalam kalangan pemimpin PN.

Dalam satu kenyataan, Woo berkata himpunan “Turun PMX” yang dianjurkan pada Julai lalu bukan bertujuan menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi sebenarnya mencerminkan konflik dalaman Bersatu sendiri.

Pemimpin Bersatu mungkin berasa marah dengan sindiran Woo itu tetapi soalnya siapakah yang memungkinkan ‘sindiran itu terzahir’. Bukankah kerana kesilapan percaturan politik yang sedang berlaku dalam Bersatu?

Setakat ini Pas belum memberi apa-apa ulasan berhubung pergolakan dalam Bersatu. Sudah pastilah Pas tidak akan campurtangan kerana ia urusan dalaman Bersatu. Tetapi penulis sedikit sebanyak percaya Pas pun ‘rasa semacam’ dengan apa yang terjadi.

Ini memandangkan Bersatu adalah komponen Perikatan Nasional – ia pasti memberi kesan kepada sokongan rakyat khususnya orang Melayu secara keseluruhannya kepada gabungan itu.

Oleh itu penulis berpendapat, Pas perlu menunjukkan ketegasan bagi mempertahankan imej Perikatan Nasional dengan menjadi peneraju utama bukanlah sekadar pengikut. Imej Pas lebih baik, pencapaian Pas lebih hebat dan kekuatan Pas lebih ampuh.Selain itu Pas kini menjadi satu-satu parti Melayu yang tidak ada ahli Parlimen dipecat atau digantung seperti mana terjadi dalam UMNO dan Bersatu.

 Pas perlu bertindak, jika tidak mahu timbul pandangan bagaimana rakyat mahu menyokong Perikatan Nasional, bagaimana orang Melayu mahu mengundi Perikatan Nasional, kalau dalam Perikatan Nasionalpun…parti tonggaknya tunggang-langgang, soal calon PM pun huru hara..lebih baik sokong Pakatan Harapan… gabungan paling stabil ketika ini berbanding Perikatan Nasional, Barisan Nasional.

Kesimpulannya, penulis berharap kemelut dalam Bersatu diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Lupakan dulu soal siapa PM, kukuhkan dulu parti yang tengah ‘terhoyong hayang’ itu. Janganlah orang kata, gabungan longgar menjadi ‘IKATAN’ (IPR) tetapi Bersatu sendiri  berpecah belah kerana ‘soal jawatan’. Akhirnya rakyat menyampah, pengundi atas pagar menjauhkan diri. Hilang harapan!

 

 


 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4496″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img