PEMERINTAH Indonesia menjangkakan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (WFH) bagi penjawat awam mampu mengurangkan beban kewangan negara, khususnya dari aspek tenaga.
Menteri Penyelaras Bidang Ekonomi, Airlangga Hartarto, memaklumkan bahawa potensi penjimatan langsung daripada dasar tersebut dianggarkan mencecah Rp6.2 trilion (kira-kira RM1.86 bilion).
“Potensi penjimatan daripada dasar bekerja dari rumah ini yang memberi kesan terus kepada APBN adalah sebanyak Rp6.2 trilion melalui pengurangan pampasan bahan api,” katanya dalam sidang media secara dalam talian mala mini lapor republika.
Selain itu, perbelanjaan masyarakat untuk bahan api minyak (BBM) turut dijangka dapat dikurangkan sehingga Rp59 trilion (kira-kira RM17.7 bilion).
Pemerintah Indonesia menetapkan pelaksanaan WFH bagi penjawat awam selama satu hari seminggu, iaitu setiap hari Jumaat bermula April 2026. Menurut Airlangga, pemilihan hari tersebut dibuat berdasarkan beban kerja yang lazimnya lebih ringan.
“Kita memilih hari Jumaat kerana ia merupakan hari bekerja separuh hari, tidak seperti Isnin hingga Khamis,” katanya.
Walaupun begitu, beliau menegaskan bahawa perkhidmatan awam akan terus berjalan seperti biasa. Sektor produktif seperti perbankan dan pasaran modal juga akan kekal beroperasi dengan pelarasan tertentu.
“Perkhidmatan awam tetap berjalan dan aktiviti produktif termasuk sektor perbankan, pasaran modal serta lain-lain akan terus beroperasi,” jelasnya.
Kerajaan turut merancang untuk mengawal pelaksanaan WFH di sektor swasta melalui surat edaran oleh Menteri Sumber Manusia, dengan mengambil kira ciri-ciri setiap sektor perniagaan.
Dalam masa sama, beberapa sektor perkhidmatan awam dan sektor strategik akan dikecualikan daripada dasar tersebut, termasuk sektor kesihatan, pengangkutan, tenaga dan logistik.


