POLIS Johor akan membawa kertas siasatan kes pemandu e-hailing yang didakwa mencabul penumpangnya untuk rujukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dalam masa terdekat.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat D5 (Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebelum dikemukakan kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk tindakan lanjut.
Beliau dalam pada itu memaklumkan, pemandu yang direman minggu lepas bagi membantu siasatan kes cabul kehormatan wanita warga Vietnam itu dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
“Suspek seorang penjawat awam dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini sementara menunggu keputusan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ab Rahaman dilaporkan berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun pada 4 Februari lalu, selain merampas dua telefon bimbit serta sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
Ab Rahaman berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada hari yang sama iaitu 4 Februari berhubung kejadian cabul di dalam kenderaan suspek.
Rakaman video berkaitan kejadian turut dikesan tular menerusi media sosial sejak 2 Februari.
Suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan, kementeriannya telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan serta-merta Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu yang terlibat dalam insiden gangguan seksual terhadap penumpang.


