POLIS Kuala Lumpur telah menyerahkan kertas siasatan kes penyanyi rap tempatan, Wee Meng Chee atau Namewee yang dikaitkan dengan kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya masih menunggu arahan lanjut berkaitan kes itu.
“Kertas siasatan kes ini telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya hari ini dan kita masih menunggu arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.
Media pada Isnin lalu melaporkan tempoh reman Namewee, 42, disambung selama tiga hari lagi bermula Selasa hingga Khamis bagi membantu siasatan.
Penyanyi kontroversi itu sebelum ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5 November lalu selepas dikaitkan dengan kematian seorang pempengaruh wanita Taiwan yang ditemui tidak bernyawa di sebuah hotel di ibu negara.
Fadil sebelum ini memaklumkan bahawa kes tersebut pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membabitkan unsur jenayah.
Difahamkan, Namewee berada di lokasi kejadian ketika insiden itu berlaku.
Polis masih meneruskan siasatan dari pelbagai sudut termasuk terhadap individu terakhir yang bersama mangsa sebelum kematiannya.



