POLIS Pahang telah melengkapkan kertas siasatan melibatkan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki menghina Islam baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek masih direman dan kertas siasatan tersebut sudah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Jadi, kita menunggu arahan selanjutnya,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Polis Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan malam ini.
Dalam pada itu, Yahaya berkata setakat malam ini, pihaknya menerima 28 laporan polis di seluruh negara mengenai kes itu.
“Saya mohon kepada masyarakat untuk menunggu tindakan selanjutnya dan pihak polis akan ambil tindakan sewajarnya terhadap kes ini,” katanya sambil menambah suspek memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan dijalankan.
Dua hari lalu, seorang penuntut UMPSA ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.
Sebelum ini, tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA itu di media sosial.


