Kes 1MDB: SPRM selesai siasat firma guaman White & Case

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatan terhadap sebuah firma guaman antarabangsa, White & Case yang berpangkalan di United Kingdom (UK) berkait penyelewengan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya juga telah mencadangkan agar pertuduhan dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Siasatan dijalankan di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan, termasuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Siasatan tersebut meliputi, antara lain, penyediaan dokumen yang disyaki mengandungi maklumat dan butiran palsu, serta arahan pembayaran yang mengelirukan sehingga penyaluran dana berkaitan 1MDB kepada pihak yang tidak sepatutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, SPRM juga sedang meneliti bayaran yang dibuat kepada firma berkenaan yang dipercayai melibatkan dana yang mempunyai kaitan langsung dengan penyelewengan aset 1MDB.

“Bagi memperkukuh siasatan, SPRM dalam proses mendapatkan maklumat dan dokumen penting melalui perundangan rasmi, termasuk menerusi Jabatan Peguam Negara (AGC) serta mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance – MLA) dengan pihak berkuasa di United Kingdom.

“SPRM turut bekerjasama rapat dengan agensi antarabangsa dalam mendapatkan maklumat, bukti dan dokumen. Kerjasama ini sedang berjalan dan merupakan sebahagian penting daripada usaha penguatkuasaan rentas sempadan yang diselaraskan.

“SPRM juga akan berkongsi dapatan siasatan dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menyokong tindakan penguatkuasaan selanjutnya di bidang kuasa masing-masing,” ujarnya.

Pada Februari lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak permohonan firma guaman terbabit untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman difailkan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) diteruskan di mahkamah Malaysia.

Firma terbabit turut diarahkan membayar kos guaman berjumlah RM30,000.

Pada 2024, 1MDB telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menuntut ganti rugi sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$33 juta atas kerugian daripada White & Case serta pengarah PetroSaudi International Ltd Patrick Mahony.

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman berkenaan, sekali gus menolak pertikaian White & Case mengenai bidang kuasa dengan menyatakan bahawa saksi-saksi yang akan dipanggil semasa perbicaraan di Malaysia.

1MDB mendakwa White & Case telah membantu PetroSaudi melakukan penipuan dan bersekongkol untuk menjejaskan 1MDB semasa bertindak selaku peguamnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img