”’Menteri Pendidikan mesti mengambil tanggungjawab penuh, bukan sekadar menzahirkan rasa simpati. Terlalu banyak kejadian keganasan, buli dan kecederaan berlaku di sekolah tanpa tindakan tegas dan sistematik.’’ – Tan Sri Muhyiddin Yassin
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 ditikam sampai mati oleh seorang pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah di Petaling Jaya semalam bukan sekadar satu tragedi.
Sebaliknya kata beliau, kehilangan seorang anak di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat dan mendidik ini tamparan besar terhadap sistem pendidikan negara yang sepatutnya melindungi masa depan generasi muda.
‘’Anak ini pergi terlalu awal di tempat yang sepatutnya menjadi simbol harapan, bukan medan tragedi. Kami di Perikatan Nasional menyampaikan rasa dukacita dan simpati yang tidak terhingga kepada keluarga mangsa. Tiada kata yang mampu menghapuskan kesedihan ini, namun kami berdoa semoga mereka diberikan kekuatan menghadapi ujian berat ini.’’ Katanya.
Sambil merakamkan ucapan takziah, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, seluruh rakyat Malaysia turut berkongsi rasa pilu, marah, dan kecewa atas kegagalan sistem yang sepatutnya menjamin keselamatan anak-anak kita.
‘’Ini bukan kes terpencil sebaliknya tanda jelas bahawa sistem pendidikan dan tadbir urus kerajaan telah gagal berfungsi. Menteri Pendidikan mesti mengambil tanggungjawab penuh, bukan sekadar menzahirkan rasa simpati. Terlalu banyak kejadian keganasan, buli dan kecederaan berlaku di sekolah tanpa tindakan tegas dan sistematik.
‘’Kegagalan demi kegagalan ini juga mencerminkan kegagalan Kerajaan MADANI secara keseluruhannya sebuah kerajaan yang sering melaungkan nilai kasih, hormat dan ihsan, tetapi gagal memastikan keselamatan paling asas untuk kanak-kanak di sekolah,’’ katanya.
Dalam kenyataan beliau itu, Muhyiddin turut menggariskan empat tindakan segera yang perlu diambil oleh kerajaan iaitu:
- Menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Bebas bagi menyiasat punca sebenar dan meneliti kelemahan dasar keselamatan sekolah yang wujud selama ini.
- Di dalam musim perdebatan Belanjawan 2026, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan harus memperuntukkan perbelanjaan memperketat sistem pemantauan keselamatan sekolah, termasuk pemasangan CCTV di kawasan kritikal, rondaan keselamatan berkala dan kerjasama langsung dengan pihak PDRM.
- Melaksanakan saringan psikososial dan program intervensi awal bagi pelajar yang menunjukkan tanda-tanda tekanan, agresif atau berisiko melakukan keganasan.
- Mewajibkan latihan keselamatan dan pengurusan krisis untuk semua guru serta warga sekolah supaya mereka mampu bertindak segera apabila berlaku ancaman.
‘’Menteri Pendidikan dan kepimpinan tertinggi kerajaan mesti turun padang sendiri, bukan sekadar menghantar pegawai, bagi menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan dalam menangani isu ini,’’ tegasnya.
Sebetulnya, tegas Muhyiddin ia memerlukan “whole of Government approach” rentas kementerian dan agensi kerajaan untuk memastikan keselamatan anak anak ini terjamin.
‘’Kita tidak boleh terus menormalisasikan tragedi seperti ini seolah-olah ia satu perkara biasa. Tiada apa yang biasa tentang apa yang sedang berlaku. Setiap kehilangan nyawa di sekolah adalah bukti nyata kegagalan dasar, kelemahan kepimpinan, dan kecuaian institusi. Kegagalan melindungi anak-anak ini bukan hanya kegagalan kementerian ia kegagalan moral dan tanggungjawab seluruh kerajaan.
‘’Kepada keluarga mangsa, kami sekali lagi menzahirkan ucapan takziah dan doa yang paling tulus agar keluarga diberi kekuatan berhadapan dengan musibah ini. Kerajaan MADANI harus berhenti beretorik dan mula bertindak kerana setiap hari Kerajaan gagal bertindak, membawa risiko keselamatan buat anak anak kita di sekolah,’’ tegasnya.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4496″]


