Kes rasuah e-waste : Ketua Pengarah JAS, timbalan akan didakwa esok

KETUA Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan timbalannya dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok atas pertuduhan rasuah berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-waste).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pendakwaan itu dibuat selepas mendapat persetujuan pihak pendakwa raya serta peguam negara.

“Jadi harap tidak ada pembatalan dan mereka akan dituduh di mahkamah esok sekiranya tiada sebarang kesulitan,” katanya selepas menghadiri sesi libat urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF).

Menurutnya, pelantikan Ketua Pengarah JAS yang baharu akan diputuskan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar selepas kedua-dua individu berkenaan didakwa di mahkamah.

Sebelum ini, siasatan SPRM menjurus kepada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan e-waste yang dipercayai berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

SPRM turut meningkatkan siasatan susulan risikan yang mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste disyaki diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.

Hasil risikan juga mendapati warga asing dipercayai menjadi dalang dalam kegiatan mengimport e-waste, plastik dan kertas secara haram untuk diproses bagi tujuan kitar semula.

Malah, terdapat juga dakwaan pembabitan pihak berkuasa dalam kegiatan berkenaan yang menyumbang kepada pencemaran berterusan akibat kemasukan sisa berbahaya itu ke dalam negara.

Dalam perkembangan sama, Azam berkata lebih 800 kontena e-waste masih berada dalam negara dan usaha pelupusan sedang dilaksanakan.

“Ada dua kita buat iaitu pertama usaha hantar balik ke negara yang eksport dan kedua pelupusan ikut cara undang-undang yang kita akan jalankan,” katanya.

Terdahulu, larangan terhadap pengimportan buangan terjadual termasuk sisa elektronik telah mula berkuat kuasa sejak semalam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img