Kes tikam pelajar perempuan: Remaja lelaki didakwa membunuh

SEORANG remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 14 Okt lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berusia 14 tahun itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Remaja itu didakwa membunuh mangsa di bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara 9.20 hingga 9.35 pagi.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan, jika tidak dihukum gantung, lapor Bernama.

Prosiding dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal dan hanya keluarga remaja berkenaan dibenarkan berada di bilik bicara kerana melibatkan kes juvana.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala peguam Anwar Ezzad Zainal mewakili remaja itu.
Mahkamah menetapkan 21 Nov untuk sebutan kes.

Terdahulu, remaja lelaki berkenaan tiba di mahkamah kira-kira 8.50 pagi dengan menaiki van polis.

Dalam kejadian 14 Okt lepas, pelajar perempuan berkenaan ditemukan meninggal dunia di dalam tandas di sekolah itu, selepas disyaki ditikam berulang kali oleh remaja lelaki yang juga pelajar di sekolah sama.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata laporan awal bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati punca kematian mangsa disebabkan jumlah tikaman berulang kali pada bahagian dada dan leher.

Dalam prosiding secara tertutup itu, mahkamah turut memerintahkan supaya remaja berusia 14 tahun itu menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak.

Perkara itu diputuskan selepas mahkamah membenarkan permohonan peguam Kitson Foong selaku amicus curiae atau sahabat mahkamah supaya remaja berkenaan dinilai oleh pihak pakar perubatan.

Semasa ditemui media di luar mahkamah, Foong yang membantu Anwar Ezzad berkata permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau berkata permohonan itu dibuat bagi memastikan remaja berkenaan menerima rawatan sewajarnya.

“Pemeriksaan psikiatri perlu bagi memastikan sama ada dia mampu membuat pengakuan dan memahami pertuduhan dihadapi,” katanya selepas prosiding hari ini.

 


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img