SEMALAM, Presiden Indonesia Prabowo Subiato mengadakan sidang media di Jakarta selepas melawat mangsa yang cedera dalam demonstrasi di Hospital Polis Republik Indonesia (Polri).
Setiap masa rakyat menanti apakah yang mahu disampaikan oleh bekas menantu Allahyarham Suharto itu untuk meredakan ketegangan? Rakyat ingin tahu apakah yang akan dilakukan oleh bekas Panglima Komando Strategis Tentera Darat (KOSTRAD) itu untuk ‘meletakkan kembali’ keamanan di seluruh negara republik berkenaan.
Jakarta sudah tenang biarpun ada lagi demonstrasi di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) tetapi tiada tindakan ganas oleh pendemo namun di daerah-daerah lain keganasan masih mewarnai ‘unjuk rasa’ kata orang Indonesia.
Justeru rakyat mahu dengar apa kata Prabowo kepada sang politikus, rakyat mahu tahu apa arahan Prabowo kepada pasukan keselamatan . Ia kerana dua kelompok inilah dianggap kunci untuk mengelakkan demonstrasi berterusan dan rusuhan ‘tidak menanti di ambang pintu’ Indonesia.
Setiap perkataan yang keluar dari mulut beliau akan menentukan sama ada meredakan kemarahan atau menjemput petaka. Ternyata mungkin disebabkan perasaan kecewa mendalam dan marah yang membara bapak Presiden Indonesia melontarkan beberapa perkataan yang mencetuskan kemarahan pelbagai pihak di negara itu.
Perkataan itu ialah ‘makar’, ‘campur tangan asing’ dan ‘adu domba’ yang pada pandangan orang ramai tidak wajar memandangkan demonstrasi yang tercetus ada kaitan dengan keputusan dan tindakan pemerintah menguruskan negara.
Prabowo dianggap tidak sensitif terhadap perasaan mereka yang melakukan demonstrasi tersebut dan disifatkan berpotensi dijadikan alasan untuk menutup kebebasan bersuara.
Awang percaya Prabowo mungkin tidak bermaksud seperti mana yang dikatakan oleh orang ramai. Namun sebagai ahli politik apatah lagi pemimpin nombor satu negara, ahli politik seperti Prabowo perlu lebih berhati-hati berkata-kata apatah lagi dalam keadaan Indonesia ketika ini.
Benar sebagai Presiden, beliau ada kuasa untuk berkata apa sahaja tetapi ia jangan sampai mewujudkan perasaan tidak puas hati rakyat. Begitulah juga di Malaysia,ahli politik mesti bijak memilih perkataan ketika berkata-kata.
Janganlah dilafazkan, usaha dilontarkan ayat-ayat yang bukan sahaja boleh menyinggung perasaan lawan politik mereka tetapi juga rakyat. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang bijak memilih perkataan dan pandai mengawal perasaan.
Awang – hanya pandai menulis


