KERAJAAN memberi jaminan bahawa keselamatan rakyat Malaysia yang berada di negara-negara Timur Tengah sentiasa menjadi keutamaan ketika situasi serantau semakin tegang berikutan perang Iran, Israel serta Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Luar (KLN) telah menyalurkan maklumat serta maklum balas terkini berhubung kedudukan rakyat Malaysia di negara-negara terlibat.
“Wisma Putra memberi beberapa maklumat dan maklum balas terkini mengenai situasi khusus berkait rakyat Malaysia yang berada di negara-negara Asia Barat khusus di sekitar kawasan Teluk.
“Wisma Putra juga akan mengeluarkan kenyataan susulan mengenai beberapa tindakan yang akan diambil,” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini.
Menurut Fahmi, keutamaan itu meliputi rakyat Malaysia yang mungkin terkandas akibat ketiadaan penerbangan pulang, selain mereka yang bermastautin di negara-negara yang terkesan dengan perkembangan semasa.


