PADA 28 Februari lalu genap 13 proses rundingan damai konflik Selatan Thailand dilaksanakan namun sehingga ke hari ini keadaan di wilayah yang majoriti penduduk beragama Islam masih tidak menentu.
Kejadian serangan bom dan pembunuhan ke atas penduduk serta anggota pasukan keselamatan masih berlaku. Malah di bulan Ramadan pun berlaku perbuatan tersebut.
Terbaru pada 27 Februari lalu seorang guru pelatih wanita cedera dalam kejadian letupan bom di Muang, Yala dan pada 4 Mac tembak anggota polis mati di kawasan Daerah Sai Buri, wilayah Pattani.
Sebelum ini sepanjang 2013 hingga Januari 2026, ketika proses rundingan damai sedang berjalan dengan Malaysia menjadi fasilitatornya sudah berapa kejadian keganasan berlaku walaupun di meja rundingan sudah ada wakil puak pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Sejak 13 tahun lalu, walaupun Perdana Menteri Thailand sering bertukar tangan dari Yingluck Shinawatra yang menduduki jawatan itu dari tahun 2011 hinggalah 2014 dan akhirnya sekali, Anuthin Charnvirakul pegang jawatan sejak Tahun 2025, namun rundingan damai itu tetap diteruskan.
Pelbagai kejadian ganas yang dilakukan oleh BRN ternyata tidak melemahkan semangat pemerintah Thailand untuk menamatkan konflik di Selatan Thailand. Mereka berusaha bersungguh-sungguh mencari titik persamaan dalam rundingan damai yang dijalankan.
Namun usaha itu sering terjejas bukan kerana pemerintah Thailand memungkiri janji tetapi disebabkan konflik dalaman BRN sendiri. Sudah terdedah kini kenapa walaupun proses rundingan damai sedang berjalan, keganasan tetap juga tercetus.
Segalanya disebabkan BRN ke rundingan itu hanya diwakili oleh Cabang Politik sedangkan yang sedang memporak-perandakan Selatan Thailand ialah Cabang Militer BRN. Maknanya berunding berapa kalipun, bermesyuaratlah banyak manapun semua itu tidak akan mendatangkan hasil selagi Cabang Militer tidak dibawa bersama ke meja rundingan.
Penulis percaya pemerintah Thailand sentiasa bersikap terbuka untuk berunding dengan sesiapa asalkan ia tidak mengandungi tuntutan yang bukan-bukannya seperti menuntut kemerdekaaan mana-mana wilayah berdaulat di negara ini.
Tambahan pula pemerintah negara itu berpegang kepada konsep atau falsafah “Thailand is One and Indivisible Kingdom” bermaksud: ‘’Thailand adalah sebuah negara yang satu dan tidak boleh dipisahkan . Thailand bersatu sebagai satu wilayah berdaulat.
Oleh itu tiada mana-mana wilayah atau negeri dalam Thailand yang boleh memisahkan diri atau membentuk negara sendiri. Kedaulatan dan keutuhan wilayah negara itu dianggap mutlak dan tidak boleh dipecahkan.
Frasa ini biasanya merujuk kepada prinsip dalam Perlembagaan Thailand, terutama berkaitan isu wilayah selatan seperti Pattani, Yala dan Narathiwat, yang menegaskan bahawa kerajaan pusat tidak mengiktiraf sebarang usaha pemisahan.
Atas sebab itulah pemerintah Thailand berlapang dada mahu mengadakan rundingan dengan puak-puak terlibat. Ia bukan soal ‘’ menandakan pengakuan bahawa pendekatan ketenteraan semata-mata tidak mencukupi’’ seperti mana didakwa oleh sesetengah pihak.
Sebaliknya selain mempertahan kedaulatan bumi Thailand, pemerintah Thailand ikhlas mahu mewujudkan keamanan dan kedamaian di Selatan Thailand kerana seluruh penduduk di wilayah itu adalah rakyat Thailand. Mereka mempunyai hak sama seperti warga Thailand yang lain.
Usahlah menyalahkan pemerintah Thailand apabila mendakwa rundingan terus berlangsung tetapi tiada hasil konkrit. Macam mana mahu mendapat hasil konkrit kalau dalam BRN sendiri berantakan dan tidak sehaluan antara satu sama lain!
Tidak timbul soal gencatan senjata kerana wilayah Thailand bukan berada dalam Zon Perang sebaliknya wilayah itu ‘diseret’ oleh puak pemisah masuk ke dalam “Zon Konflik’’. Dan yang mencetuskan keganasan itu bukan tentera Thailand tetapi puak pemisah jadi bagaimana mahu diadakan gencatan senjata?

Memang benar pemerintah Thailand melihat konflik di Pattani atau Selatan Thailand sebagai isu keselamatan. Ia memandangkan ketika mereka bertungkus lumus mahu melaksanakan pelbagai projek dan program bagi membela nasib penduduk Islam, puak pemisah pula memilih untuk melakukan serangan bom dan membunuh insan tidak berdosa.
Di mana-mana negarapun kalau situasi itu berlaku, kerajaan negara terlibat akan melihat apa yang berlaku dari sudut keselamatan.Dan akar konflik ialah sikap BRN atau puak pemisah sendiri bukan sahaja tidak bersatu sesama mereka tetapi juga terlalu banyak prasangka terhadap usaha pemerintah Thailand membawa keamanan ke wilayah terlibat.
Oleh itu daripada puak pemisah melalui media sosial membentangkan hujah yang bukan-bukan lebih baik mereka satukan kerjasama antara Cabang Politik dan Cabang Militer.
Kedua-dua cabang ini perlu didamaikan dahulu sebelum puak pemisah mahu menuding jari kepada pemerintah Thailand berikutan konflik masih berterusan di Selatan Thailand.
Selagi kedua-dua cabang itu tidak mencapai kesepakatan selagi itulah rundingan damai tidak akan ke mana. Tidak usah bercakap soal harapan yang dijanjikan dan kekecewaan yang dirasai.
Ia kerana sejak 13 tahun lalu di meja rundingan, pemerintah Thailand memberi harapan dan jaminan mahu mewujudkan kedamaian di wilayah tersebut tetapi yang menyebabkan kekecewaan dirasai adalah sikap BRN yang tiada kesepakatan antara mereka.
Justeru adalah wajar Cabang Politik dan Cabang Militer duduk semeja untuk menamatkan konflik antara mereka, sebelum berhasrat terus berada di meja rundingan dengan pemerintah Thailand.
Buanglah segala prasangka kepada pemerintah Thailand jika mereka berhasrat mewujudkan keamanan di Selatan Thailand. Proses rundingan damai sejak 13 tahun wujud kerana keikhlasan pemerintah Thailand dan sepatutnya BRN berusaha menjayakannya.
Ingatlah firman Allah SWT dalam surat Al Anfal ayat 61 yang bermaksud:
“(Akan tetapi,) jika mereka condong pada perdamaian, condonglah engkau (Nabi Muhammad) padanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya hanya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Kesimpulannya, sama ada proses rundingan damai akan berjaya atau tidak, ia bukan bergantung kepada pemerintah Thailand sebaliknya berada di tangan Cabang Politik dan Cabang Militer BRN…inilah faktanya.


