Oleh Penulis Khas
WILAYAH Selatan Thailand dilanda banjir teruk dan setakat kelmarin kebanyakan kawasan ditenggelami air manakala seramai 33 orang dilaporkan terkorban.
Jurucakap kerajaan, Siripong Angkasakulkiat, berkata 33 kematian berlaku di tujuh wilayah selatan — sembilan di Nakhon Si Thammarat, empat di Phatthalung, enam di Songkhla, dua masing-masing di Trang dan Satun, serta lima masing-masing di Pattani dan Yala.
Bencana banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat berterusan di sembilan daripada 14 wilayah selatan — Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.
Lebih daripada 2.78 juta penduduk terjejas teruk, dengan ratusan ribu rumah ditenggelami air.
Apabila menyebut Selatan Thailand pasti terlintas di fikiran kita, wilayah itu dilanda konflik dan keselamatannya sering terancam akibat perjuangan songsang Barisan Revolusi Nasional (BRN) mahu menuntut kemerdekaan dan kononnya mahu memiliki kerajaan sendiri.
Tetapi persoalannya, ketika rakyat wilayah itu sedang bertarung nyawa dan harta benda mereka musnah akibat banjir ketika ini, di manakah BRN? Di manakah pemimpin BRN yang kononnya mendabik dada sebagai pembela? Kenapa sehingga ke hari ini tiada satu baht pun yang diberikan oleh mereka untuk membantu mangsa banjir tersebut.
BRN tidak berbuat apa-apa sebaliknya agensi-agensi rasmi kerajaan yang selama ini dituduh BRN sebagai penjajah, agensi yang dituduh BRN bersikap seperti rejim Israel dan pasukan keselamatan yang difitnah menganiaya penduduk Islam sedang bertungkus lumus menyelamatkan penduduk-penduduk selatan.
Kerajaan Thailand menguruskan segala usaha pemindahan, penyediaan tempat perlindungan dan pemulihan selepas banjir dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan dengan sokongan rakyat.
Anehnya, jika sebelum ini BRN begitu bersungguh-sungguh menghasut penduduk di Yala, Pattani dan Narathiwat membenci pemerintah Thailand, kenapa sekarang mereka tidak bersungguh-sungguh menolong penduduk berkenaan sedangkan banjir kali ini dianggap antara paling teruk dalam beberapa tahun khususnya di Yala, Pattani dan Narathiwat.
Sepatutnya jika BRN benar-benar ikhlas memperjuangkan kesejahteraan penduduk Islam di Selatan Thailand dan menguar-uarkan mereka mahu memerintah wilayah itu, inilah masa terbaik untuk membuktikan keupayaan mereka.
Kalau banjirpun mereka tidak mampu berbuat apa-apa, bagaimana mereka mahu memerintah. Jika mahu menjadi pemerintah, BRN perlu buktikan kemampuan menguruskan bencana termasuk infrastruktur, pengurusan air, perkhidmatan kecemasan dan kerjasama antarabangsa, namun setakat ini BRN belum membuktikan keupayaan tersebut.
Jika begitulah keadaannya, apa tujuan BRN beria-ia mahu menuntut kemerdekaan? Apakah tuntutan itu demi rakyat atau demi kepentingan pemimpin-pemimpin BRN? Malang sekali bagi rakyat selatan jika mereka menyokong BRN memandangkan ketika mereka bertarung nyawa di tanah air sendiri, pemimpin BRN bersenang lenang di luar negara.
Agak lucu apabila ada hujah menyatakan, ‘’ tanggungjawab bencana terletak kepada kerajaan yang MEMEGANG KUASA, BAJET dan AGENSI NEGERI yang bertanggungjawab secara langsung untuk pencegahan dan penyelesaian bencana.’’
Begitu juga dengan hujah yang menegaskan, ‘’cabang eksekutif bertanggungjawab terutamanya untuk menyediakan bantuan dan pengurusan krisis.’’
Persoalannya kenapakah selama ini hujah-hujah itu tidak digunakan ketika pemerintah Thailand menggunakan KUASA, BAJET DAN AGENSI NEGERI bagi mempertahankan wilayah selatan dan penduduknya daripada ancaman keganasan oleh BRN?
Bukankah apa yang dilakukan oleh pemerintah Thailand memerangi BRN adalah bidang KUASANYA sebagai kerajaan yang SAH? Kenapakah BRN pandai pula menuduh Kerajaan Thailand sebagai penjajah?
Salahkah pemerintah Thailand menggunakan BAJET menyediakan kelengkapan dan kemudahan bagi mengembalikan kedamaian di wilayah itu? Kenapa BRN menuduh penduduk Islam yang bekerja dengan AGENSI KERAJAAN dianggap TALI BARUT penjajah?
Satu lagi hujah yang diberikan ialah BRN bukan organisasi yang sah di bawah UNDANG-UNDANG Thailand. Mereka kekurangan BAJET atau KUASA negeri, oleh itu tidak dapat menguruskan bencana.
Persoalannya, UNDANG-UNDANG mana yang digunakan oleh BRN selama ini untuk berperang dengan pemerintah Thailand? UNDANG-UNDANG mana yang dijadikan rujukan oleh BRN untuk membunuh penduduk yang tidak berdosa?
Siapa yang memberi KUASA kepada BRN untuk melakukan keganasan di selatan atas alasan mahu menuntut kemerdekaan? Kenapa bila banjir baru timbul soal tidak ada BAJET, kalau begitu bagaimana BRN boleh ada BAJET untuk membeli peralatan untuk berperang dengan pemerintah Thailand?
Soal pembangkang tidak dapat membantu mangsa banjir kita faham tetapi sekurang-kurangnya mereka adalah parti politik yang sah, tidak seperti BRN! BRN adalah organisasi haram. Memberi alasan bahawa BRN hanya boleh memainkan peranan jika mempunyai status pemerintah sendiri seperti ‘’Kerajaan Sendiri Pattani’ atau ‘Kemerdekaan Pattani’ adalah alasan dangkal.
Kalau BRN benar-benar ikhlas mahu berjuang untuk penduduk Islam, mereka perlu mendaftar menjadi organisasi yang sah dan seterusnya berusaha mendapat kuasa negeri melalui pilihan raya.
Namun apa yang dilakukan oleh BRN sekarang adalah perjuangan songsang dan sia-sia. Ketika rakyat hidup aman damai dan berusaha mencari rezeki demi sesuap nasi, BRN cetuskan keganasan dengan serangan bom dan membunuh orang tidak berdosa, kononnya melawan pemerintah Thailand yang dianggap sebagai penjajah.
Tetapi apabila tercetus bencana banjir di selatan mengakibatkan ribuan penduduk Islam menderita, BRN memberi alasan mereka TIDAK ADA BAJET, TIDAK ADA KUASA dan TIDAK ADA AGENSI!
Kesimpulannya, walaupun bencana banjir kita tidak mahu ia berlaku, namun ia ada hikmahnya iaitu mendedahkan wajah sebenar BRN, yang ibarat hanya tahu melakukan huru-hara ketika suasana aman tetapi hilang ke mana dengan pelbagai alasan apabila penduduk memerlukan bantuan ketika bencana.
Namun adalah diharapkan dalam tempoh selepas krisis bencana banjir pada kali ini, rakyat di wilayah sempadan selatan mungkin akan mengalami trauma, sama ada secara mental dan material, di mana dalam tempoh tersebut akan melakukan proses penyembuhan dan pemulihan untuk mengembalikan kawasan itu ke keadaan asalnya.
Justeru diharapkan BRN tidak akan memburukkan lagi penderitaan rakyat di kawasan itu dengan melakukan serangan keganasan, kerana jika ada kejadian tersebut selepas ini ia membuktikan bahawa BRN tidak pernah mempunyai sedikitpun simpati terhadap rakyat di kawasan itu.


