PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ketirisan wang awam dan salah guna kuasa bukan sahaja merencatkan tadbir urus negara, malah menjejaskan kesejahteraan rakyat, termasuk kesihatan awam, alam sekitar dan integriti nasional.
Katanya, penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak memadai dalam memerangi rasuah, namun usaha ini perlu diperkukuh melalui pembudayaan integriti dan amalan tatakelola yang baik secara menyeluruh, melibatkan sektor awam, swasta serta masyarakat.
‘’Antara dipersetujui di dalam mesyuarat ini ialah pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah (Certified Integrity Officer – CeIO), pengukuhan agenda pencegahan rasuah negara berasaskan penyertaan semua pihak serta pemerkasaan koordinasi strategik antara agensi,’’ katanya melalui Facebook beliau.
Hari ini Anwar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN), di Putrajaya.
Anwar berkata, kerajaan kekal fokus memperkasa agenda tatakelola bagi memastikan integriti dan ketelusan terus menjadi teras perkhidmatan awam demi menjunjung amanah rakyat dan memperteguh keyakinan terhadap institusi negara.


