Ketua Pengarah, Pengarah jabatan kerajaan direman 5 hari bantu siasatan seleweng dana RM900,000

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperolehi kebenaran Mahkamah Majistret Putrajaya untuk menahan reman Ketua Pengarah dan Pengarah di sebuah jabatan kerajaan bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana berjumlah RM900,000.

Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah bermula hari ini sehingga 16 Februari terhadap kedua-dua suspek selepas mendapat permohonan reman daripada SPRM.

Kedua-dua suspek tiba di mahkamah tersebut kira-kira pukul 9 pagi.

SPRM sebelum ini memaklumkan, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an telah ditahan kira-kira jam 1 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Mereka disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024.

Kedua-duanya dipercayai telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja berjumlah kira-kira RM900,000 untuk kepentingan peribadi.

Mereka juga dipercayai mengemukakan tuntutan palsu dan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000 untuk menunaikan umrah semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu.

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Mahkamah Putrajaya pada jam 9.10 pagi menaiki kenderaan SPRM.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan sekiranya terdapat bukti dan keterangan tambahan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta turut melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah dan salah guna harta.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img