JABATAN Agama Islam Melaka (JAIM) menarik balik sijil halal dimiliki sebuah kilang memproses kopi dan biskut di Melaka selepas didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi dalam kerja-kerja pembersihan peralatan.
Perkara itu dikesan menerusi pemeriksaan dijalankan Bahagian Pengurusan Halal JAIM pada Januari lalu, yang menemukan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan di premis terbabit.
Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, berus berkenaan disita sebelum dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai untuk pengesahan lanjut.
Menurutnya, keputusan analisis yang diterima pada Mac mengesahkan berus itu mempunyai ciri fizikal bulu babi.
“Susulan itu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik kilang berkenaan ditarik serta-merta.
“Kilang itu telah beroperasi lebih sedekad dan sebelum ini memiliki sijil halal yang sah dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, alasan tidak tahu yang diberikan pemilik premis tidak boleh dijadikan justifikasi.
Katanya, pemegang sijil halal perlu sentiasa memastikan pematuhan penuh terhadap piawaian halal yang ditetapkan, tanpa kompromi dalam mana-mana aspek operasi.
“JAIM akan terus memperhebat pemantauan terhadap premis yang memiliki sijil halal bagi menjamin keyakinan pengguna terhadap status halal produk di pasaran,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai khususnya umat Islam disaran agar lebih berhati-hati dalam membuat pilihan makanan dengan mengutamakan produk yang mempunyai pensijilan halal, demi memastikan ia memenuhi tuntutan syarak serta standard kebersihan yang ditetapkan.


