PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima surat rayuan daripada bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk kembali menyertai parti itu.
Ahmad Zahid menerusi hantaran Facebooknya berkata, Khairy menyerahkan sendiri surat berkenaan ketika mengunjunginya pada malam ke-26 Ramadan (malam tadi).

“Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa. Sebuah ikhtiar menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan.
“Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya,” katanya.
Khairy, bekas menteri yang pernah memegang pelbagai portfolio, dipecat daripada parti pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang diadakan pada Disember 2022.
Beliau mengkritik Ahmad Zahid secara terbuka menjelang pilihan raya tersebut, terutama selepas Barisan Nasional meletakkannya bertanding di kubu kuat Pakatan Harapan di Sungai Buloh.
Khairy tewas dalam pertandingan itu kepada Datuk Seri R Ramanan daripada PKR dengan perbezaan 2,693 undi.
Pada 6 Mac lalu, Ahmad Zahid mengumumkan parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang dipecat atau digantung.
Menurutnya, jemputan itu demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar UMNO.


