KETUA Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berpendapat Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa masih kurang meyakinkan, terutama dari sudut hala tuju serta matlamat akhir, walaupun istilahnya kedengaran hebat.
Beliau berkata, turut menjadi persoalan ialah sama ada Rumah Bangsa itu berkait atau tidak dengan kerjasama dan gerak kerja politik, ataupun ia hanyalah proses dalaman UMNO, yakni usaha pengukuhan semula parti serta penyatuan ahli.
Berikut kenyataan penuh beliau:
Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa ialah istilah yang kedengaran hebat. Secara sepintas lalu, ia seolah-olah menggambarkan suatu gabungan yang menyeluruh; mungkin belum pernah wujud di bumi Malaysia sebuah kerjasama politik dengan nama sebesar itu.
Namun, gagasan ini kelihatan kurang meyakinkan, terutama dari sudut hala tuju dan matlamat akhirnya. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani, menyatakan bahawa ia perlu direalisasikan sebelum PRU16.
Dalam masa yang sama, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, pula menegaskan bahawa ia bukan kerjasama politik dan tidak bertujuan menggugat Kerajaan Madani.
Persoalannya, jika ia benar benar bukan kerjasama politik dan tidak berkait dengan gerak kerja politik, maka mengapa ia perlu direalisasikan sebelum PRU16?
Dengan lebih jelas, mengapa ia perlu dikaitkan secara langsung dengan pilihan raya? Jika benar ia sekadar “kolaborasi”, jadikanlah ia kerjasama bagi tujuan sosial atau kemasyarakatan, seperti kenduri besar atau himpunan muafakat, tanpa sebarang matlamat politik.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ketika ucapan dasar PAU 2025, mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk menerima penyertaan semula ahli ahli parti, termasuk mereka yang belum pernah menjadi ahli atau yang telah meninggalkan UMNO, untuk kembali menjadi ahli UMNO. Kemudian, sebuah jawatankuasa telah diumumkan bagi tujuan tersebut
Ini membawa makna bahawa kemungkinan Rumah Bangsa pada asasnya hanyalah proses dalaman UMNO, yakni usaha pengukuhan semula parti dan penyatuan ahli. Manakala Kolaborasi Agung pula kelihatan sebagai idea yang berbeza, barangkali untuk menghimpunkan parti parti politik Melayu, yang kemudiannya dijenamakan sebagai Musyawarah Nasional. Namun persoalan yang masih berbaki ialah apakah hala tuju politik sebenar gagasan ini?
Kita tunggu sahaja sejauh mana idea ini akan dikembangkan. Namun, melihat insiden apabila Ahmaf Zahid menarik balik sebahagian ucapannya berhubung isu “Team A dan Team B dalam DAP” selepas disanggah mentah-mentah oleh Setiausaha Agung DAP, timbul kegusaran tentang sejauh mana ketegasan gagasan Kolaborasi Agung ini mampu dipertahankan kelak.
Jika ucapan penggulungan, ucapan paling penting seorang Presiden parti selepas ucapan dasar di hadapan seluruh perwakilan dari seluruh negara, yang boleh dianggap sebagai amanat agung untuk dibawa ke setiap ahli di cawangan, dari pedalaman Sabah hinggalah ke hujung selatan Johor, pun boleh disanggah dan akhirnya ditarik balik, maka apakah jaminan Kolaborasi Agung tidak akan berdepan penolakan dan sanggahan yang sama?
Jika penegasan seorang Timbalan Presiden bahawa UMNO kononnya tidak pernah bekerjasama dengan DAP pun boleh disanggah secara terbuka, maka ke arah mana “kejantanan” Rumah Bangsa mahu dijulang? Mujur kenyataan itu belum lagi ditarik balik oleh Timbalan Presiden UMNO.
Kesimpulannya, Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa pada hakikatnya masih berupa idea yang belum jelas bentuk dan arah tuju. Namanya hebat, tetapi isinya belum meyakinkan. Di pihak kita, terus bekerja, dan kita jadikan Kerajaan Madani paling lama bertahan pun hanyalah sepenggal, Insya Allah.


