BALU kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, dua anaknya dan peguam keluarga itu hari ini memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saman berhubung siasatan dakwaan usaha untuk menggulingkan kerajaan turut dibuat terhadap dua lagi pihak lain iaitu Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Kerajaan Malaysia.
Na’imah, 69, dua anaknya, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta dua peguam, Amir Zharif Abdullah dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid selaku plaintif, menamakan Anwar, Mohd Khalid dan kerajaan selaku defendan pertama hingga ketiga.
Menerusi saman itu, semua plaintif memohon perisytiharan bahawa siasatan yang dimulakan oleh defendan kedua dan ketiga, di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan, sebagai menyalahi undang-undang.
Susulan itu, mereka memohon perisytiharan bahawa tindakan defendan tidak berperlembagaan, berniat jahat, dilaksanakan untuk tujuan tersembunyi dan penyalahgunaan kuasa statutori.
Semua plaintif kemudian memohon perisytiharan bahawa Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang bertujuan untuk melarang aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen sebagai tidak berperlembagaan.
Katanya, ia perlu dibatalkan dan tidak sah kerana samar, terlalu luas dan tidak seimbang dalam skopnya.
Menurutnya, perkara itu juga melanggar Perkara 5 iaitu kebebasan diri, Perkara 8 (kesamarataan di sisi undang-undang dan Perkara 10 (kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan) Perlembagaan Persekutuan.
“Kami memohon perisytiharan bahawa tindakan defendan kedua dan ketiga memulakan siasatan, telah melanggar kebebasan asasi yang dijamin di bawah perlembagaan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, peguam, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh yang mewakili plaintif berkata, saman itu difailkan demi kepentingan awam dan mencabar penyalahgunaan kuasa.
“Ini juga bagi menghentikan dakwaan palsu mengenai kononnya wujud ‘komplot Zionis’ untuk menjatuhkan kerajaan,” kata mereka dalam satu kenyataan media.
Sebelum ini, Na’imah tampil menafikan terlibat dalam sebarang bentuk usaha menggulingkan kerajaan seperti yang didakwa pihak tertentu.
Isteri kepada bekas Menteri Kewangan itu menegaskan, tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah melucukan dan tidak masuk akal.
Beliau turut menyifatkan cubaan mengaitkan dirinya dengan pendedahan laporan media antarabangsa, Bloomberg melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai tidak bertanggungjawab serta menghina kredibiliti pengamal media.
Minggu lalu, laporan polis yang tersebar di media sosial menyatakan, ahli keluarga berpengaruh itu didakwa melantik sebuah firma komunikasi strategik berpangkalan di United Kingdom.
Ia dikatakan bagi memberi tekanan terhadap SPRM dan Anwar dengan bantuan media antarabangsa.
Media sebelum ini melaporkan, lima individu termasuk empat anak Daim serta seorang tokoh yang digelar ‘individu berpengaruh’, didakwa terlibat dalam satu plot untuk menjatuhkan Kerajaan.
Dakwaan itu muncul selepas polis mengesahkan satu siasatan melibatkan ‘agensi media antarabangsa dan individu berpengaruh’, ketika laporan Bloomberg mengenai penyalahgunaan kuasa dalam SPRM mencetuskan reaksi politik yang besar.
Dalam masa yang sama, SPRM dalam satu kenyataan berkata, empat anak Allahyarham Tun Daim itu, iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir dan Muhammed Amin, sedang dijejak bagi membantu siasatan berprofil tinggi yang sedang dijalankan.


