BEKALAN makanan negara ketika ini masih terjamin walaupun berlaku konflik melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) di Timur Tengah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu turut dibincangkan secara awal di peringkat Kabinet bagi menilai sebarang potensi kesan terhadap rantaian bekalan makanan negara.
Menurutnya, kebanyakan import makanan Malaysia tidak bergantung kepada negara yang terlibat secara langsung dalam konflik berkenaan.
“Peperangan itu berlaku di Timur Tengah dan negara-negara tersebut sebenarnya tidak banyak terlibat dengan bekalan makanan Malaysia.
“Sebahagian besar import makanan kita (Malaysia) datang dari India, Pakistan, negara ASEAN, Australia, New Zealand, Brazil dan Argentina,” katanya ketika sidang media selepas Program Ihya’ Ramadan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Dewan Serbaguna KPKM, Putrajaya, hari ini.
Mohamad berkata, Malaysia lebih banyak terlibat dalam aktiviti eksport ke negara di rantau Teluk termasuk Dubai, justeru kesan terhadap bekalan makanan domestik masih belum ketara.
“Setakat ini kita belum terjejas apa-apa dari segi keterjaminan makanan.
“Namun kita tidak tahu berapa lama konflik ini akan berlarutan. Jika berpanjangan dan berlaku kenaikan harga minyak, kemungkinan ia akan memberi kesan kepada harga barangan import,” katanya.
Beliau mengulas mengenai kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan bekalan makanan global susulan konflik di rantau Timur Tengah.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, bekalan beras negara masih berada pada tahap selamat.
“Negara mempunyai stok penimbal beras yang mencukupi untuk menampung keperluan rakyat sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan.
“Dari segi bekalan beras, kita memang ada stok yang mencukupi untuk kira-kira lima bulan. Jika mengambil kira stok di pasaran termasuk di kedai-kedai, bekalan beras negara boleh bertahan sehingga kira-kira tujuh bulan,” katanya.
Tambah beliau, kementerian juga telah menyediakan pelan pengurusan krisis sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan makanan.
“Langkah-langkah pengurusan krisis memang sudah tersedia dan kita bersedia untuk bertindak sekiranya berlaku sebarang perkembangan yang menjejaskan bekalan makanan negara,” katanya.


