KP Kelantan tidak gentar ugutan, percaya motif berkait siasatan polis libatkan lebih 100 kes ahlong

KETUA Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat percaya, tindakan tegasnya mengarahkan usaha membanteras sindiket pinjaman wang haram atau ahlong dengan membuka semula siasatan lebih 100 kes lama dipercayai antara punca beliau menerima ugutan.

Menurutnya, beliau sebelum ini mengarahkan semakan semula kes lama membabitkan ugutan oleh peminjam ahlong yang diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA) di peringkat daerah.

“Sepanjang tempoh Januari hingga November tahun lalu saja, kami membuka semula 72 kes.

“Sehingga Disember, jumlah itu meningkat kepada lebih 100 kes selepas diklasifikasikan semula apabila dikenal pasti wujud prima facie,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut Mohd Yusoff, kes itu membabitkan mangsa diugut selepas gagal membayar pinjaman atau faedah melampau, termasuk mengikut Seksyen 5(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, sehingga ada yang mengalami tekanan melampau.

“Bayangkan pinjam RM40,000, sudah bayar RM200,000, tetapi masih tidak selesai, zalim. Ada mangsa yang mengalami tekanan teruk sehingga timbul kecenderungan membunuh diri,” katanya sambil menambah membanteras sindiket along antara lima fokus utamanya, selain dadah dan keselamatan sempadan.

Beliau mendedahkan sindiket ahlong di Kelantan dibawa masuk dari negeri lain yang beroperasi melalui rangkaian ‘gengster’ tempatan.

Beliau tidak menolak kemungkinan sindiket ahlong itu bertindak balas terhadap tekanan berterusan polis yang mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan mereka dalam tempoh singkat.

“Saya tidak takut dengan sebarang ugutan, saya akan terus menyiasat melibatkan semua sudut,” tegas beliau.

Mengenai contengan simbol 11–2=9 di dinding pagar Lapang Sasar Menembak Kontinjen Polis Kelantan di Gunong, Bachok, Yusoff berkata, pihaknya tidak membuat sebarang kesimpulan awal kerana simbol itu mungkin sengaja dicipta untuk mengelirukan siasatan.

Minggu lalu, akhbar melaporkan empat lelaki dalam lingkungan 20-an diambil keterangan bagi membantu siasatan kes ugutan itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img