DUA pegawai tertinggi Jabatan Alam Sekitar (JAS) direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 5 Februari depan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas permohonan dibuat oleh SPRM pagi tadi.
Turut direman tujuh hari ialah Penolong Pegawai JAS manakala seorang lagi individu direman tiga hari.
Terdahulu, keempat-empat suspek tiba dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Putrajaya kira-kira jam 9.31 pagi.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM memperhebatkan siasatan terhadap kegiatan pengimportan e-waste secara haram.
Hasil risikan mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena telah diseludup masuk melalui pelabuhan utama.
Selain itu, risikan terbaharu turut mendedahkan warga asing disyaki menjadi dalang pengimportan e-waste, plastik dan kertas secara haram bertujuan untuk kitar semula.
Manakala pihak berkuasa pula yang terlibat dipercayai bersubahat berkait kes pencemaran berterusan.
Pada Isnin lalu, sebanyak 16 akaun bank dibekukan membabitkan kira-kira RM10.2 juta, manakala wang tunai bernilai RM87,000 dan barang kes bernilai kira-kira RM220,000 turut disita.
Ia susulan siasatan dakwaan rasuah dalam pemprosesan e-waste, pembuangan sisa efluen serta buangan berjadual melalui Op Nature.


