KPDN laksana Op Pantau 2026, pantau harga, bekalan sepanjang Ramadan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Op Pantau 2026 bermula 19 Februari hingga 20 Mac depan bagi memantau bekalan serta harga barangan keperluan sepanjang bulan Ramadan sehingga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi itu akan dilaksanakan secara lebih kerap dan bersasar bagi memastikan pengguna dilindungi daripada sebarang amalan perniagaan tidak beretika, termasuk pencatutan harga dan iklan mengelirukan.

“KPDN akan melaksanakan melalui bahagian penguasa KPDN akan melaksanakan Ops Pantau bermula 19 Februari hingga 20 Mac 2026.

“Ops Pantau ini adalah untuk kita membuat pemantauan dan penguasaan secara berfokus secara lebih kerap secara bersasar menjelangnya sepanjang bulan Ramadan hingga menjelangnya sambutan Aidilfitri,” katanya, lapor Buletin TV3.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata demikian pada sidang media selepas Penyerahan Sumbangan Bakul Makanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Papar, hari ini.

Armizan menjelaskan, tumpuan utama Op Pantau adalah terhadap bekalan dan harga barangan keperluan yang menjadi pilihan rakyat seperti gula, ayam, telur ayam, minyak masak dan tepung gandum, termasuk barangan yang tertakluk di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

“Fokus kepada penguasa Ops Pantau ini pertamanya adalah melihat kepada bekalan dan juga harga barang-barang yang menjadi tumpuan rakyat sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri, kita tengok supaya tidak ada penjualan melebihi daripada harga yang telah ditetapkan,” katanya.

Selain premis fizikal seperti pasar awam, pasar raya, pasar mini, bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri, KPDN, ujar Armizan, turut memberi tumpuan kepada pemantauan penjualan dalam talian selaras dengan perubahan trend pembelian pengguna masa kini.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa KPDN akan digerakkan di lokasi strategik di seluruh negara dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan pematuhan undang-undang sepanjang tempoh operasi berkenaan.

Beliau turut memaklumkan Ops Pantau tahun lalu merekodkan 70,906 pemeriksaan di seluruh negara dengan 390 kes dihasilkan, manakala di Sabah sebanyak 3,403 pemeriksaan dilakukan membabitkan 37 kes.

“Cukup penting juga adalah peranan daripada pengguna, kita mengalu-alukan aduan laporan daripada rakyat untuk sama-sama kita menggerakkan misi ini,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img