KPDN Melaka serbu dua kediaman sorok LPG haram, rampasan bernilai lebih RM580,000

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyerbu dua kediaman yang dijadikan pusat penyimpanan gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen di Telok Mas, Melaka semalam.

Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, serbuan serentak pada jam 9 malam itu melibatkan 15 anggota penguat kuasa itu dijalankan hasil aduan awam dan risikan pihaknya.

Beliau berkata, pemeriksaan di premis pertama menemukan sebanyak 524 tong LPG pelbagai jenama dengan 191 daripadanya berisi gas yang disimpan di tempat tidak dilesenkan.

“KPDN turut menyita lima lori dengan kapasiti muatan satu tan, tiga tan, lima tan dan tujuh tan yang disyaki digunakan untuk mengalihkan barang kawalan berkenaan. Nilai sitaan di kediaman pertama dianggarkan berjumlah RM476,000.

“Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang mengaku bertanggungjawab terhadap kediaman berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Stor Eksibit KPDN Melaka di Krubong hari ini, lapor Sinar Harian.

Mohd Hazimin berkata, dalam serbuan di kediaman kedua pula, sebanyak 296 tong LPG pelbagai jenama ditemukan dengan 160 daripadanya berisi gas membabitkan nilai sitaan lebih RM107,000.

Tambahnya, seorang lelaki tempatan berusia lewat 40-an turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menjalankan urus niaga barang kawalan.

“Secara keseluruhan, jumlah sitaan daripada kedua-dua premis dianggarkan sebanyak RM584,000.

“Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta menjalankan urus niaga barang berjadual tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan,” katanya

KPDN memberi amaran kepada semua peniaga supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan serta menegaskan pemantauan dan operasi akan terus dipergiatkan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku perdagangan dan isu kepenggunaan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-aduan@kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800, aplikasi Ez Adu KPDN atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Melaka di talian 06-234 5869 (8 pagi hingga 6 petang).

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img