KPDN Perak serbu restoran guna logo halal tidak sah, salah guna ayat al-Quran

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah restoran kerana dipercayai menggunakan logo halal tidak sah di Teluk Intan, semalam.

Serbuan pada jam 1 petang itu turut mengesan tindakan pemilik premis terbabit yang menyalahgunakan kalimah Allah dan ayat suci al-Quran bagi menarik kehadiran pelanggan.

ANGGOTA KPDN Perak menurunkan logo kalimah Allah dan Muhammad yang disalahgunakan pemilik sebuah restoran yang diserbu kerana tidak memiliki logo halal yang diperakukan, di Teluk Intan, Perak semalam. GAMBAR: KPDN Perak

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan mendapati premis berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perakuan atau pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Premis tersebut juga didapati menggunakan dua pekerja bukan beragama Islam sepenuhnya dalam penyediaan makanan dan minuman termasuk tukang masak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, pemilik premis telah dikenakan tindakan dan ditahan untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut.

Dalam serbuan itu katanya, pasukan penguat kuasa turut menyita beberapa barangan berkaitan termasuk set kalimah Allah dan Muhammad diperbuat daripada kayu dan plastik, senaskhah  al-Quran hiasan dinding serta salinan Lesen Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Daftar Perniagaan (SSM).

“Siasatan dijalankan di bawah Perenggan 4, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011,” katanya.

Menurut Kamalludin, KPDN memandang serius penggunaan takrif halal, ayat suci al-Quran serta logo halal tidak sah kerana perbuatan itu boleh memperdaya dan mengelirukan pengguna, khususnya orang Islam.

Beliau turut mengingatkan pengusaha restoran dan syarikat supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan setiap makanan, barangan, perkhidmatan hanya menggunakan perakuan serta penandaan halal yang sah daripada pihak berwibawa.

“Penggunaan sebarang ungkapan atau representasi halal perlu mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan kesalahan perihal halal boleh menyalurkan aduan kepada KPDN melalui aplikasi WhatsApp di 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDN.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img