KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas hampir dua tan minyak masak bersubsidi dan tiga kenderaan dengan nilai keseluruhan RM20,000 menerusi operasi khas di pangkalan haram di Bundar, Lubok Gong, Pasir Mas, tengah malam tadi.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan Aswadi Jaafar berkata serbuan dilakukan pada 12.30 tengah malam oleh Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor dan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am semasa sekumpulan lelaki sedang menunggu minyak masak di tebing Sungai Golok.
“Semua suspek melarikan diri menggunakan perahu ke arah negara jiran selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa. Pemeriksaan lanjut menemukan 500 kilogram minyak masak peket di tebing sungai manakala selebihnya dalam dua Proton Waja serta Proton Wira Aeroback,” katanya, lapor Bernama.
Aswadi berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Tumpat hari ini.
Beliau berkata, minyak masak seberat 1,983 kilogram dan kenderaan itu dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dilakukan Bahagian Penguat Kuasa KPDN Cawangan Pasir Mas.
Dalam perkembangan lain, Aswadi berkata, sebanyak 140 tindakan kes dilakukan dari awal Januari hingga 11 Feb melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai keseluruhan rampasan RM439,666.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 91 kes kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 direkodkan dengan nilai mencecah RM88,197 serta sitaan 46 buah kenderaan berjumlah RM204,600 dan 32 tangkapan.
“Majoriti kes melibatkan rampasan petrol bernilai RM25,202, tepung gandum (RM22,441), minyak masak (RM19,582) manakala selebihnya gula (RM13,967), diesel (RM4,388) dan gas memasak (RM2,794),” katanya.
Beliau menegaskan KPDN akan terus memperketat kawalan terutama di semua pangkalan haram yang belum dirobohkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba melakukan aktiviti penyelewengan di sempadan.


