KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan berlaku kebocoran soalan Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 seperti yang tular dalam media sosial.
Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan pantas diambil untuk menyiasat dakwaan berkenaan termasuk meneliti sebaran yang tular.
“Hasil siasatan mendapati maklumat yang ditularkan adalah senarai tema umum dan adalah kandungan yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
“Senarai tema yang ditularkan adalah ramalan oleh guru dan calon peperiksaan SPM.
“Ia tidak menepati definisi kebocoran yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan,” kata kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, KPM menegaskan kertas peperiksaan awam disediakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ia diklasifikasikan sebagai sulit seperti peruntukan dalam Akta Rahsia Rasmi 1972 serta tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak.
“Justeru, semua calon peperiksaan SPM 2025 dinasihatkan untuk kekal tenang dan terus fokus kepada peperiksaan yang sedang berlangsung.
“KPM berusaha memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam adalah terpelihara dan kepentingan serta keadilan kepada semua calon peperiksaan SPM 2025 adalah terjamin,” katanya.


