KAKITANGAN dan penjawat awam yang dibenarkan untuk terlibat dalam penugasan bekerja dari rumah (BDR) perlu mematuhi peraturan dan tata cara yang telah ditetapkan selain mengikut petunjuk prestasi utama (KPI) disarankan ketua jabatan masing-masing.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, langkah itu selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) bawah Teras 2: Pembangunan Modal Insan, yang menekankan peningkatan produktiviti.
“Sebagai respons terhadap tekanan ekonomi dan keperluan semasa, kerajaan melalui Jemaah Menteri pada 1 April lepas telah bersetuju agar dasar BDR dilaksanakan bermula 15 April ini namun diharap penjawat awam jangan salah faham.
“BDR bukan bermaksud ‘baring duduk rehat’ atau ‘beli-belah di pasar raya’. Ia mesti mengikut peraturan dan tata cara yang ditetapkan. Output dan produktiviti mesti sama, malah kalau boleh lebih baik daripada kerja di pejabat,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Taat Setia MADANI peringkat negeri Selangor di Shah Alam hari ini.
Semalam, satu surat edaran dikeluarkan menetapkan pegawai perkhidmatan awam persekutuan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta semua ibu negeri yang mempunyai jarak perjalanan sehala ke pejabat melebihi 8 kilometer layak melaksanakan BDR mulai 15 April.
Ketetapan itu dinyatakan dalam surat bertajuk ‘Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah bagi Perkhidmatan Awam Berikutan Konflik Asia Barat’ ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Berdasarkan surat edaran itu, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR.4.1.2: Dasar Bekerja dari Rumah memperincikan dasar, syarat dan peraturan pelaksanaan BDR.
Pelaksanaan BDR secara berperingkat adalah langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Dalam pada itu Shamsul Azri turut menegaskan, penjawat awam perlu menunjukkan teladan kepada rakyat dengan bukan sahaja melaksanakan arahan, tetapi memacu pelaksanaan secara bijaksana.
Katanya, selaras dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menyeru budaya berjimat cermat terus diamalkan secara bersungguh-sungguh di setiap jabatan.


