KUMPULAN tarian dari Filipina tampil memukau pada Festival Tari Rakyat Antarabangsa (TARI’25) yang berlangsung baru-baru ini dengan membawa warisan hampir satu abad sebagai kumpulan tari rakyat tertua di negara tersebut.
Pengarah Artistiknya, Peter P. Alcedo Jr., berkata kumpulan itu meraikan ulang tahun ke-90 pada tahun ini dan terus komited mempersembahkan kepelbagaian budaya Filipina melalui tariannya.
“Kami merupakan antara kumpulan tari rakyat tertua, malah mungkin yang pertama di negara ini. Tahun ini memasuki tahun ke-90 penubuhan kami, dan kami mengkhusus dalam mempersembahkan tarian kebudayaan serta tarian rakyat Filipina, selain jazz dan kontemporari,” katanya.
Menurut Peter, kumpulan itu tidak mencampurkan unsur kontemporari ke dalam tarian rakyat, namun latihan jazz digunakan sebagai asas kekuatan fizikal penari.
“Tarian rakyat akan kekal sebagai tarian rakyat. Kami menggunakan ketangkasan dan ketahanan daripada latihan jazz supaya penari mempunyai kemampuan fizikal untuk melaksanakan peranan yang lebih menuntut dalam tarian rakyat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Peter berkata, penyertaan mereka dalam TARI’25 memberi ruang kepada mahasiswa untuk memahami persamaan dan kepelbagaian budaya serantau.
“Ia memberi mereka gambaran lebih luas tentang budaya ASEAN dan saya memberitahu mereka (kumpulan tarian) bahawa kita sebenarnya satu keluarga yang hanya dipisahkan oleh sempadan politik,” katanya.
Beliau mengakui cabaran utama persiapan adalah pemilihan repertoir memandangkan Filipina mempunyai banyak budaya dan tarian untuk diketengahkan.
“Filipina adalah sebuah negara yang sangat pelbagai. Kami mempunyai begitu banyak budaya, jadi saya perlu memilih yang mana satu untuk kami bawakan,” ujarnya.
Menurut beliau, kumpulan itu membawakan 18 penari dan pemuzik, melebihi jumlah diminta penganjur dalam usaha menyajikan persembahan terbaik kepada penonton.
Peter turut memuji penganjuran festival oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang disifatkan sebagai platform kukuh untuk kolaborasi budaya ASEAN tanpa elemen pertandingan.
“Festival ini merupakan satu bentuk perayaan. Tiada siapa yang menilai anda dan tiada siapa yang lebih baik daripada sesiapa. Ia malah memberi kekuatan kepada setiap peserta,” katanya.


