JALAN Masjid India di ibu negara ditutup sementara bagi laluan kenderaan selepas berlaku insiden mendapan permukaan jalan di hadapan premis di Jalan Bonus hari ini.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, mendapan itu dikesan berlaku pada jam 8.39 pagi.
“Pasukan daripada DBKL, Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah berada di lapangan bagi menjalankan siasatan.
“Bagi tujuan keselamatan, Jalan Masjid India telah ditutup sementara kepada laluan kenderaan bermula dari Lorong Masjid India 4 (sebelah masjid) hingga ke kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.
Tambahnya, DBKL menegaskan bahawa keselamatan orang awam adalah keutamaan.
Katanya, pemantauan dan kerja teknikal akan diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Pada Ogos tahun lalu, negara dikejutkan dengan insiden seorang wanita warga India berusia 48 tahun yang hilang selepas terjatuh ke dalam lubang benam sedalam kira-kira lapan meter di kawasan tersebut.


