Lagi kes pemandu mabuk: Enam cedera SUV rempuh MPV di Kajang

SEORANG lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) menyebabkan enam cedera di Jalan Pintasan Kajang–Semenyih, awal pagi tadi.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 1.20 pagi membabitkan sebuah SUV jenis Range Rover Velar 2.0 dan sebuah MPV Mazda E1800 Wagon.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati SUV terbabit hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah van sehingga menyebabkan kenderaan itu terbalik di bahu kiri jalan.

“Pemandu SUV tidak mengalami kecederaan, namun pemandu MPV serta lima penumpang berusia antara tujuh hingga 51 tahun cedera dan menerima rawatan di Hospital Kajang dan Hospital Serdang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Naazron, hasil siasatan mendapati pemandu SUV berusia 51 tahun itu positif alkohol dan berikutan itu dia ditahan, sebelum direman dua hari bagi membantu siasatan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tambah beliau.

“Individu disabit kesalahan ini boleh dipenjara tidak kurang daripada tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun serta didenda antara RM30,000 hingga RM50,000,” katanya.

Ahad lalu, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dipandu lelaki di bawah pengaruh dadah dan alkohol di Jalan Raya Barat di Klang.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img