Polis berjaya tahan lapan lelaki kes gaduh di Balai Polis Meru

POLIS berjaya menahan lapan lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam insiden kekecohan dan pergaduhan di Balai Polis Meru, Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, semua suspek berusia antara 28 hingga 44 tahun itu ditahan menerusi tiga fasa tangkapan berasingan.

Menurutnya, dalam tangkapan pertama, lima lelaki berusia antara 28 hingga 41 tahun direman selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Mac sebelum permohonan sambung reman diperoleh sehingga esok.

“Tangkapan kedua melibatkan dua lelaki berusia antara 39 hingga 44 tahun yang direman selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Mac.

“Manakala tangkapan ketiga melibatkan seorang lelaki berusia 38 tahun yang direman selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Mac,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati sebahagian daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh, cubaan membunuh, samun berkumpulan, merusuh dengan senjata serta pecah rumah.

“Malah, seorang daripada suspek yang ditahan juga merupakan individu dikehendaki di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis benzo manakala yang lain negatif,” katanya.

“Turut dirampas sebuah topi keledar berwarna hitam dan sebatang besi paip yang dipercayai digunakan dalam insiden berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148, Seksyen 427 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img