MAJLIS Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyifatkan langkah kerajaan untuk melaksanakan larangan pembelian minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing mulai 1 Mac ini adalah langkah penting memastikan subsidi minyak benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia.
Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron berkata, ketetapan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu juga akan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Berikut kenyataan beliau:
MPPN menyatakan sokongan penuh terhadap langkah kerajaan melalui KPDN untuk melaksanakan larangan pembelian minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing mulai 1 Mac 2026.
MPPN berpandangan bahawa ketetapan ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan subsidi minyak masak yang diperuntukkan kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
MPPN menyambut baik penegasan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali bahawa larangan ini akan dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dengan punca kuasa Akta Kawalan Bekalan 1961.
Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus subsidi dan mengurus risiko ketirisan yang selama ini menjejaskan keberkesanan bantuan kepada rakyat.

MPPN mengambil maklum bahawa antara faktor utama penyelewengan minyak masak bersubsidi ialah:
- Ketiadaan sistem pemantauan pembelian individu sebelum ini; dan
- Aktiviti pembelian minyak masak paket untuk dicampur serta dijual semula sebagai minyak masak terpakai bagi meraih keuntungan tidak wajar.
Situasi ini bukan sahaja merugikan negara, malah menjejaskan hak pengguna tempatan untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga terkawal.
MPPN turut menyokong penggunaan sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) sebagai pendekatan penguatkuasaan bersandarkan data.
Seperti dimaklumkan, sejak Mei 2025, eCOSS telah berjaya merekodkan penjualan lebih 20 juta paket minyak masak bersubsidi kepada warganegara, sekali gus menyediakan data penting bagi memperkukuh pengurusan subsidi yang lebih telus dan berkesan.
Pendekatan “data-driven enforcement” ini amat signifikan dalam memastikan subsidi dapat diteruskan secara mampan.
MPPN juga menyambut baik penjelasan bahawa kerajaan tidak menafikan keperluan isi rumah besar dan mekanisme pembelian sedia ada masih fleksibel bagi memastikan keluarga yang memerlukan tidak terjejas.
MPPN menyeru agar semua pihak termasuk peruncit dan pengguna memberi kerjasama penuh terhadap pelaksanaan larangan ini demi menjamin keadilan pengagihan subsidi.
MPPN juga menggalakkan rakyat untuk terus menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan penyelewengan subsidi melalui saluran rasmi KPDN.
MPPN akan terus menyokong usaha memperkukuh perlindungan pengguna, ketelusan pasaran serta pengurusan subsidi yang lebih berhemah demi kepentingan rakyat.


