SUARA AWANG SELAMAT
SUARA semakin lantang yang mahu Pas menerajui Perikatan Nasional (PN) daripada muktamar sayap-sayap Pas di Kedah semalam boleh dianggap ‘penolakan halus’ Pas terhadap langkah Bersatu menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri daripada parti itu.
Awang percaya muktamar induk yang bermula esok dan berakhir Selasa hampir pasti akan membuat ketetapan yang sama iaitu Pas mesti menerajui PN. Oleh itu Awang berharap pemimpin-pemimpin Bersatu termasuk Muhyiddin akan memahami sentimen yang sedang ‘membara’ di dalam Pas.
Sejak awal lagi sebelum perhimpunan agung Bersatu, Awang sudah kata Bersatu jangan memandai mahu menamakan calon PM daripada parti tersebut. Ia kerana Awang tahu Pas tidak selesa dengan keadaan itu.
Pas mahu tumpu perhatian menang pilihan raya dulu kemudian barulah fikir siapa yang hendak dicalonkan sebagai PM. Bagaimana jika PN kalah PRU-16? Lebih memalukan bagaimana kalau ‘poster boy’ PN ‘bungkus’ dalam pilihan raya itu?
Malangnya dalam Bersatu ada cerdik pandai yang masih merasakan Muhyiddin masih layak untuk menjadi PM lagi sedangkan layak atau tidak layak, ia mesti mendapat restu Pas kerana Pas adalah parti penting dalam PN.
Bersatu tidak boleh dilihat mahu menjadi ‘taiko’dalam PN dan merasakan Pas perlu mengikut perancangan politik mereka. PN bukan milik Bersatu sahaja, Bersatu tidak memiliki kerusi Parlimen sebanyak Pas, Bersatu tidak ada negeri yang diperintah seperti Pas! Pas ada empat negeri dan 43 ahli Parlimen.
Bersatu asalnya ada 31 ahli Parlimen tetapi kini tinggal 25 orang selepas enam ahli Parlimennya berpaling tadah. Jadi dengan kedudukan kerusi seperti itu sama ada di negeri atau pusat, Bersatu sepatutnya menghormati Pas. Apapun keputusan yang berkaitan dengan PN terutamanya calon PM perlu dibincang terlebih dahulu.
Namun ada pemimpin Bersatu yang ‘degil’. Sejak sembilan bulan lalu dok terpekik terlolong mahu Muhyiddin dinamakan sebagai calon PM PN dan bila perhimpunan agung pada Ahad lalu lulus pula usul Muhyiddin calon PM Bersatu.
Awang percaya, gelagat segelintir pemimpin dalam Bersatu yang masih lagi mahu mengangkat Muhyiddin sebagai calon PM tidak disenangi oleh Pas. Kalau Pas hendak Muhyiddin, sudah pasti sembilan bulan lalu mereka dah setuju.
Awang tengok dah lama dah, pemimpin Pas berlapik apabila bercakap soal itu sebab mereka mahu menjaga hati Muhyiddin, Pas berkias dengan ayat ‘kita menang pilihan raya dulu’, ‘Pas pun ada calon’ dan ‘calon PM kena dapat perkenan Agong’, hakikatnya mereka nak cakap ‘Kami tak nak Muhyiddin dah’..tak kan tak faham lagi!.
Jadi apabila perhimpunan agung Bersatu beria-ia sangat calonkan Muhyiddin sampai agenda memperkasakan PN pun tak begitu didengari maka muktamar sayap Pas melepaskan ‘peluru yang sudah lama disimpan iaitu ‘sampai masanya Pas terajui PN’ dan ‘Pas ada ramai calon PM’.
Awang percaya esok muktamar Pas akan ‘lebih panas’. Kepada pemimpin Bersatu, dengar betul-betul apa yang Tan Sri Abdul Hadi Awang akan sampaikan dalam ucapan dasar beliau. Di situ mungkin ada ‘penawar’ untuk ‘penyakit kronik’ dalam Bersatu khususnya ‘sakit’ ghairah menamakan calon PM.
Awang -Selalu bermuhasabah