`Lebihan makanan untuk pencinta haiwan, bukan dikitar semula untuk pelanggan’ – Pemilik restoran nasi kandar

PEMILIK Restoran RB Nasi Kandar menafikan dakwaan bahawa pekerja premisnya di Kemayan Square, Seremban membasuh lebihan makanan untuk dijual semula kepada pelanggan, sebaliknya ia bertujuan diberikan kepada pencinta haiwan.

Datuk Fadzil A Bakar berkata, adalah mustahil pihaknya menjual makanan lebihan kepada pelanggan kerana ia mudah rosak dan berbau.

TANGKAP layar video tular sisa makanan yang dibasuh semula di sebuah restoran nasi kandar di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini. Pemiliknya hari ini mendakwa lebihan makanan itu untuk diberikan kepada pencinta haiwan dan bukan untuk dikitar semula untuk dijual kepada pelanggan

“Kalau buat macam mana sekalipun, makanan itu akan cepat rosak dan pelanggan boleh mengesannya.

“Kita bukan baharu dalam bidang ini. Mungkin ada pemilik restoran lain yang mengitar semula makanan, tetapi kita tidak pernah buat macam itu,” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, sejak tiga tahun lalu, pencinta haiwan terbabit sering datang ke restoran berkenaan untuk mengambil lebihan makanan bagi diberikan kepada haiwan liar seperti kucing, burung dan tikus.

Jelas beliau, makanan itu perlu dibasuh terlebih dahulu supaya tidak berminyak sekali gus bagi mengelakkan haiwan terkena penyakit.

“Kita tak nampak betul-betul apa yang berlaku dan pelbagai cerita yang timbul.

“Saya rasa pekerja kami warga Pakistan itu pun mungkin kurang faham apa yang dipersoalkan oleh perakam video dan telah memberi penerangan yang salah dengan mengatakan ia dibasuh untuk digunakan semula sedangkan ia sebenarnya untuk diberikan kepada haiwan,” dakwanya.

Beliau menjelaskan, pihak pengurusan restoran juga berdepan masalah untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pekerja berkenaan kerana selepas insiden itu, dia terus menghilangkan diri.

“Dia pun baru lagi bekerja di restoran itu dan tak faham sangat Bahasa Melayu. Kita nak tanya lanjut pun tak dapat kerana dia sudah melarikan diri,” katanya.

Beliau memberitahu, aspek kebersihan premis dan penyediaan makanan merupakan perkara paling penting yang sentiasa diberi perhatian.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada sesetengah pekerja warga asing yang kurang menitikberatkan perkara itu.

“Kita memang pandang serius soal kebersihan dan jika premis dikenakan kompaun disebabkan ada pekerja tak pakai apron atau pakai selipar, kita akan menolak gaji pekerja tersebut kerana tak ikut peraturan.

“Saya ada 14 restoran di seluruh negara dan ini kali pertama berdepan isu sebegini,” katanya.

Mengulas mengenai video yang tular, Fadzil berkata, tindakan individu merakam dan menyebarkan tanpa berbincang terlebih dahulu telah menjejaskan reputasi perniagaannya.

Bagaimanapun ujarnya, pihaknya akur dengan siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), malah telah pun membuat laporan polis terhadap penyebar video.

Pada masa sama beliau tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap perakam video.

“Kalau tak puas hati atau ada tengok sesuatu tak kena, sepatutnya jumpa dulu dengan pengurusan restoran, bukannya terus tularkan.

“Saya tak nafikan imej saya terjejas dengan apa yang terjadi. Tapi tindakan perakam video itu memang salah dan dia masuk dapur kami tanpa kebenaran pun sudah jadi satu kesalahan.

Sementara itu tinjauan Sinar Harian di restoran tersebut mendapati, terdapat beberapa pekerja sedang membersihkan bahagian belakang.

Media sebelum ini melaporkan, kejadian meloyakan itu dikongsi seorang pengguna media sosial yang mendakwa menyaksikan sendiri perbuatan berkenaan di belakang premis terbabit pada jam 12.18 tengah malam pada Selasa lalu.

“Saya melihat seorang pekerja sedang mencuci baki makanan seperti daging ayam, daging kambing, tauhu yang jelas merupakan lebihan masakan, kemudian diasingkan ke dalam dulang,” katanya.

Dia memberitahu telah menegur perbuatan pekerja tersebut dan dimaklumkan yang baki makanan terbabit dicuci untuk digunakan semula pada keesokan hari.

Susulan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan telah pun mengeluarkan notis penutupan berkuat kuasa 3 Februari hingga 17 Februari ini.

Pemilik telah dikenakan tindakan penguatkuasaan serta diarahkan penutupan premis di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan pengeluaran notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img