LEFTENAN Madya Maritim Nurul Alifa Alias mencatat sejarah apabila menjadi pegawai wanita Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pertama menerima Sayap Penerbang selepas menamatkan latihan juruterbang helikopter selama 20 bulan.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, pencapaian itu sekali gus membuktikan keupayaan Maritim Malaysia dalam melahirkan pakar penerbang sendiri tanpa bergantung kepada pegawai yang diserap daripada agensi keselamatan lain.
Beliau turut menyifatkan kejayaan Nurul Alifa menerima Sayap Penerbang sebagai pemangkin kepada penyertaan lebih ramai pegawai wanita dalam bidang operasi udara agensi penguatkuasaan itu.
“Pencapaian tersebut adalah satu lonjakan besar dalam memperkasa keupayaan dan inklusiviti warga Maritim Malaysia dalam operasi di udara termasuk kepada pegawai wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau hadir pada Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Sayap Penerbang Maritim Malaysia 2026 di Putrajaya hari ini.
Nurul Alifa antara lapan pelatih Juruterbang Helikopter Siri 3/2024 yang berjaya menamatkan latihan intensif antara 12 hingga 20 bulan membabitkan pelbagai fasa, termasuk latihan ikhtiar hidup, underwater escape training (UWET), latihan simulator serta penerbangan sebenar dengan rekod sehingga 155 jam penerbangan.
Tujuh lagi pelatih yang dianugerahkan Sayap Penerbang ialah Leftenan Maritim Mohd Al Azlan Shah Harun, Leftenan Madya Maritim Muhammad Firdaus Faisal, Leftenan Madya Maritim Awangku Mohd Farid Awang Engko Tajudin dan Leftenan Madya Maritim Mohamad Ehram Mohd Noorlee.
Selain itu, Leftenan Madya Maritim Muhammad Firdaus Ab Aziz, Leftenan Madya Maritim Muhammad Luqman Bahari dan Leftenan Madya Maritim Faqrul Shafiq Mohd Fadzludin.
Dalam majlis yang sama, enam pelatih Pegawai Sistem Udara Siri 2/2024 serta lima jurulatih penerbangan turut menerima sijil tamat latihan, manakala empat pelatih diiktiraf sebagai terbaik dalam kategori masing-masing.
Sementara itu, Saiful Lizan berkata, objektif utama latihan berkenaan adalah untuk melahirkan penerbang maritim yang bukan saja mahir mengendalikan pesawat tetapi kompeten dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan dan menyelamat di laut yang semakin kompleks dan mencabar.
Beliau menegaskan, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia perlu memainkan peranan kritikal sebagai ‘mata di langit’ dalam memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara.
“Keupayaan ini membolehkan Maritim Malaysia memperluas liputan pemantauan serta meningkatkan kadar kejayaan operasi, khususnya dalam misi CARILAMAT, pembanterasan jenayah rentas sempadan dan pencerobohan nelayan asing,” katanya.


