SEORANG lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mempromosi ideologi kumpulan pengganas Islamic State (IS) melalui akaun media sosial miliknya.
Tertuduh, Mohammad Didarul Alam, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan, Didarul didakwa menguruskan akaun Facebook berprofil ‘Al Mubin Islam’ bagi memuat naik kandungan berbentuk video, artikel dan gambar yang mempromosikan ideologi IS serta memberi sokongan terhadap perjuangan kumpulan itu.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Kuala Lumpur antara Januari 2023 hingga sebelum penangkapannya pada 21 Julai 2025. Pemeriksaan polis turut merampas pasport serta dua telefon bimbit milik tertuduh.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 40 tahun atau dengan denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.
Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya, Aftal Mariz Mahamed memaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati tertuduh turut menyertai beberapa kumpulan Telegram berunsur ekstremisme yang aktif menyebarkan propaganda IS.
Aftal Mariz memohon supaya hukuman tegas dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh terutamanya apabila membabitkan isu keselamatan dan keganasan di negara ini.
Namun, Didarul merayu supaya dirinya hanya dikenakan denda kerana mendakwa datang ke Malaysia untuk bekerja demi menyara kedua ibu bapanya yang uzur di Bangladesh.
Azhar kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas tertuduh dan memerintahkan tempoh pemenjaraan itu bermula dari tarikh tangkap, iaitu 21 Julai 2025.
Hakim turut mengarahkan tertuduh dihantar pulang ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman, selain membenarkan permohonan pendakwaan untuk melucut hak semua barang rampasan, termasuk dua telefon bimbit dan pasport tertuduh.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Aftal Mariz Mahamed, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.


