POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai tular dalam video melakukan aksi silat sambil memakai topi keledar di Tanah Perkuburan Kampung Melayu di Kluang, Johor baru-baru ini.
Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Sri Lalang semalam kira-kira jam 1 petang di Jalan Merdeka, Sri Lalang, Kluang.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, video yang tular berdurasi 27 saat itu dirakam orang awam pada 21 November lalu sebelum dimuat naik ke media sosial melalui laman sosial Facebook This Is Johor.
“Penularan video itu menimbulkan pelbagai persoalan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat berhubung adab serta sensitiviti di kawasan perkuburan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan lanjut turut mendapati lelaki itu memiliki empat rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bahrin berkata, suspek kini direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menggunakan dadah untuk diri sendiri, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dilaporkan telah mengarahkan Pejabat Kadi Daerah Kluang menjalankan siasatan berhubung insiden itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut meminta masyarakat memberi ruang kepada penguat kuasa agama untuk menjalankan siasatan.


