Lelaki cuba curi kabel landasan ditahan polis bantuan KTMB

CUBAAN seorang lelaki mencuri kabel berhampiran landasan kereta api di sektor Telok Gadong hingga Teluk Pulai, dekat Klang, petang semalam, dipatahkan selepas ditahan oleh dua anggota polis bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

KTMB dalam kenyataan memaklumkan, suspek disyaki warga asing ditahan oleh anggota polis terbabit yang sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan, dikenal pasti sebagai lokasi panas kecurian kabel, pada jam 6.45 petang.

“Dua angggota polis bantuan terbabit pada mulanya terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran landasan. Ketika dihampiri, suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg kecil, sebilah pisau dan gunting dipercayai digunakan melakukan aktiviti jenayah terbabit. Suspek bersama barang bukti kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada jam 7.20 malam untuk siasatan lanjut,” katanya.

KTMB juga memaklumkan lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api adalah kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), memperuntukkan tindakan tegas termasuk denda, penjara atau kedua-duanya sekali.

“KTMB memandang serius sebarang bentuk pencerobohan atau cubaan mencuri kemudahan infrastruktur rel kerana perbuatan itu boleh menjejaskan keselamatan operasi tren serta perkhidmatan kepada penumpang,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menyalurkan maklumat kepada Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 0322631194 yang beroperasi 24 jam atau kepada polis berhampiran.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img