SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai mengugut untuk membunuh anak perempuannya yang baru berusia dua tahun di jeti Jalan Pak Mayong, Tok Bali di Pasir Puteh, hari ini.
Suspek yang berusia 24 tahun dikatakan membawa mangsa ke tepi jeti sambil memegang serpihan botol kaca pecah sebelum mengugut mahu membunuh anaknya.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.25 pagi dan mangsa berjaya diselamatkan, sementara suspek ditahan.
“Ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia positif mengambil dadah jenis methamphetamine. Bagaimanapun polis masih menyiasat punca kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Zaizul Rizal berkata, pemeriksaan fizikal ke atas mangsa mendapati tiada kecederaan namun kanak-kanak itu dirujuk ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk pemeriksaan lanjut dan pemantauan kesihatan.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang menjejaskan siasatan.
“Suspek akan ditahan reman esok dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.


