Lelaki Indonesia bawa sabit panjang didakwa sebabkan kematian pelajar, kecederaan rakan

SEORANG lelaki warga Indonesia didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini kerana menunggang motosikal secara berbahaya sambil membawa sabit berhulu panjang sehingga menyebabkan kematian seorang remaja minggu lalu.

Tertuduh, Sutiyono, 39, mengangguk faham selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman, namun pengakuan tidak direkodkan memandangkan tertuduh mempunyai masalah pendengaran.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menunggang motosikal secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Adham Faisal, 18, iaitu penunggang motosikal jenis Honda Vario 150cc bernombor pendaftaran KEV 4662.

Kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu dilakukan di Lorong Haji Abdul Rashid, Kampung Selabak, Teluk Intan kira-kira jam 8.10 pagi 9 Mac lalu.

Pertuduhan kedua pula lelaki itu didakwa menunggang motosikal dengan cara berbahaya hingga menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Mu’ammar Ismail, 17, pada tarikh, tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 42 (1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala tertuduh diwakili peguam pro bono, Francis Sinnappan.

Nur Darwis sebaik pertuduhan dibacakan meminta mahkamah mempertimbang tarikh baharu bagi lantikan jurubahasa bahasa isyarat memandangkan tertuduh ada masalah pendengaran, selain jurubahasa Indonesia.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dengan salah seorang majikan tertuduh.

Naidatul Athirah menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan bedah siasat di samping lantikan dua jurubahasa dimohon pihak pendakwaan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img